
KOUROU, 15 September- Agensi Angkasa Eropah (ESA) berjaya melancarkan dua satelit pemerhatian bumi bagi mengumpul data mengenai kesan perubahan iklim termasuk gelombang haba terhadap tumbuh-tumbuhan serta perubahan persekitaran marin.
- Roket Vega-C melancarkan satelit Flex dan Sentinel-3C dari Pusat Angkasa Kourou pada 10.21 malam Isnin.
- Flex memantau pancaran cahaya merah tumbuhan semasa fotosintesis untuk menilai kesan gelombang haba terhadap vegetasi.
- Sentinel-3C, sebahagian Copernicus, mengukur suhu laut, ketinggian ombak, arus dan memantau penggunaan serta litupan tanah.
- Data kedua satelit membantu mengoptimumkan hasil pertanian dan menyokong pemahaman serta tindak balas terhadap perubahan iklim.
Roket Vega-C yang membawa satelit Flex dan Sentinel-3C berlepas dari pusat angkasa Kourou di Guiana Perancis pada 10.21 malam Isnin waktu tempatan.
Satelit Flex (Fluorescence Explorer) akan mengumpul data mengenai kesan gelombang haba terhadap tumbuh-tumbuhan dengan memantau cahaya merah yang dipancarkan tumbuhan ketika menjalankan proses fotosintesis.
Ketua Program Flex, Thierry Huiban berkata data itu akan membantu saintis mengkaji hubungan antara tekanan terhadap tumbuhan dengan pancaran cahaya berkenaan serta mengukurnya dengan lebih tepat.
Sementara itu, satelit Sentinel-3C, sebahagian daripada program Copernicus Kesatuan Eropah (EU) bagi pemerhatian bumi, akan mengukur keadaan persekitaran marin termasuk suhu, ketinggian ombak dan arus laut, selain memantau penggunaan serta litupan tanah.
Data daripada satelit itu turut bertujuan membantu mengoptimumkan hasil pertanian bagi mencegah krisis makanan.
Pengarah Program Pemerhatian Bumi ESA, Simonetta Cheli berkata misi berkenaan penting bagi membantu memahami perubahan iklim yang sedang berlaku. -AFP