
KUALA LUMPUR, 15 September – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen hari ini memanggil semula saksi yang hadir pada prosiding pertama berhubung Lembaga Tabung Haji (LTH), bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
- Prosiding hampir empat jam turut melibatkan TKSUK JPM, CEO dan pengurusan kanan LTH.
- Tujuan prosiding: mendapatkan penjelasan rasmi dan perkembangan pelaksanaan syor RCI mengenai tadbir urus dan kewangan LTH.
- Untuk prosiding seterusnya, PAC akan memanggil saksi termasuk Menteri JPM (Hal Ehwal Agama), MOF, agensi JPM dan Urusharta Jamaah.
- PAC memuktamadkan penyata isu lain seperti e-Jamin, kutipan yuran UKM, pelaksanaan R&D&C&I negara dan Pelaburan Hartanah Berhad.
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menerusi satu kenyataan memaklumkan, prosiding hampir empat jam itu turut membabitkan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (TKSUK) Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku pihak kementerian kawal selia, selain Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengurusan kanan LTH.
“Prosiding ini bertujuan mendapatkan penjelasan rasmi dan perkembangan terkini berhubung pelaksanaan syor-syor penambahbaikan yang digariskan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi LTH dari tahun 2014 hingga 2020.
“Ini termasuk isu-isu berkaitan kawal selia Kerajaan ke atas LTH, serta pengurusan, tadbir urus, dan kewangan LTH, terutamanya dalam memastikan kemampanan operasi LTH dalam tempoh jangka panjang di sebalik ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia,” menurut kenyataan itu.
Laporan RCI berkenaan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 Ogos lalu, manakala prosiding PAC turut meneliti isu berkaitan kawal selia Kerajaan terhadap LTH serta pengurusan, tadbir urus dan kewangan institusi berkenaan.
Menurut Datuk Mas Ermiyati, bagi prosiding seterusnya, PAC akan memanggil semula saksi yang hadir hari ini, selain saksi berkaitan lain termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), wakil Kementerian Kewangan (MOF), agensi di bawah JPM dan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB).
Saksi berkenaan akan dipanggil sebelum PAC membentangkan penyata berhubung prosiding itu di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, PAC juga sedang dalam proses memuktamadkan penyata bagi beberapa isu lain termasuk pengurusan perkhidmatan bayaran wang jaminan mahkamah melalui sistem e-Jamin, kutipan hasil yuran dan perbelanjaan Universiti Kebangsaan Malaysia serta pelaksanaan Program Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I) negara dan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB).
“PAC akan terus melaksanakan peranan semak dan imbang ini selaras dengan fungsi terasnya demi memastikan akauntabiliti LTH khususnya dan Kerajaan secara amnya, sekali gus mengukuhkan semula keyakinan jutaan pendeposit terhadap LTH selaku institusi ulung yang menguruskan dana deposit haji jutaan rakyat Malaysia,” tambah kenyataan itu.