20 saksi beri keterangan nahas helikopter di Long Lellang

Tan Sri Mohd Khalid (tengah) bercakap pada sidang media Upacara Serah Terima Tugas bagi Timbalan Ketua Polis Negara dan Pengarah Pengurusan PDRM serta Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pegawai Kanan Polis / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 September – Seramai 20 saksi telah memberi keterangan bagi membantu siasatan nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram, Miri, setakat ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan siasatan dibuka menganggap ia sebagai kemalangan.
  • PDRM telah mengambil beberapa kenyataan saksi dan melaksanakan tindakan perundangan berkaitan siasatan.
  • PDRM sedia bekerjasama dengan KKM melaksanakan penerbangan ihsan untuk membantu penduduk kawasan pedalaman memerlukan bantuan perubatan.
  • Empat agensi termasuk PDRM, TUDM, Maritim dan JBPM membantu KKM; penerbangan ihsan sementara sehingga siasatan selesai.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

“Sehingga kini kita melihat bahawa ini adalah satu kemalangan dan kita buka kertas siasatan di bawah SDR.

“Jadi beberapa tindakan dari segi perundangan itu telah kita buat, kita telah ambil beberapa kenyataan daripada saksi-saksi yang berkaitan,” katanya.

Beliau menyatakannya pada sidang media Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Upacara Serah Terima Tugas Jawatan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Tan Sri Mohd Khalid berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam pelaksanaan penerbangan ihsan bagi membantu penduduk di kawasan pedalaman yang memerlukan bantuan perubatan.

“Untuk makluman semua, kita ada dua kapal terbang dan juga satu helikopter di Sarawak,” katanya.

Ahad lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan empat agensi kerajaan akan membantu KKM melaksanakan penerbangan ihsan bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.

Agensi terbabit ialah PDRM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Khidmat penerbangan ihsan itu akan digunakan buat sementara waktu sehingga siasatan berhubung insiden berkenaan selesai.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.