
KUALA LUMPUR, 15 September – Empat individu termasuk seorang anggota penguat kuasa direman selama lima hari kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi pembekalan makanan haiwan berjumlah RM1.8 juta.
- Suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM sekitar pukul 9 malam.
- Mereka disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi tuntutan pembekalan makanan haiwan.
- Siasatan mendapati nilai pembekalan sebenar lebih rendah daripada tuntutan; kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan memaklumkan, kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 40 hingga 60-an, direman sehingga 19 September.
“Keempat-empat suspek ditahan kira-kira pukul 9 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.
“Kesemua suspek dipercayai mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu bagi membuat tuntutan berkaitan pembekalan makanan haiwan berjumlah kira-kira 1.8 juta ringgit,” menurut kenyataan itu hari ini.
Siasatan awal mendapati mereka disyaki bersubahat dalam perbuatan berkenaan antara 2021 hingga 2023.
Bagaimanapun, siasatan mendapati nilai pembekalan sebenar adalah lebih rendah daripada jumlah yang dituntut.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Aina Azahra Ariffin di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi tadi, selepas permohonan dibuat SPRM.
Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohammad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan. Kes disiasat bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan modus operandi serta penglibatan setiap suspek dalam kes berkenaan.