
KOTA BHARU, 5 November – Kira-kira 11 kilogram (kg) dadah disyaki ganja bernilai RM34,100 dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA)di Jalan Kasban Jeram Perdah, Pasir Mas, malam tadi.
- Penunggang motosikal memecut lalu terbabas di jalan berlumpur dan melarikan diri ke kawasan semak; motosikal ditinggalkan tanpa nombor pendaftaran.
- Pemeriksaan menemui dua beg mengandungi 100 ketulan mampat disyaki ganja; 40 ketulan dalam beg galas, 60 ketulan dalam beg pakaian.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya; semua barang rampasan diserahkan kepada BSJND IPD Pasir Mas untuk siasatan lanjut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu seorang lelaki bertindak memecut motosikal sebelum terbabas di jalan berlumpur dan melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, motosikal berwarna merah tanpa nombor pendaftaran itu ditunggang seorang individu mencurigakan sebelum memasuki Lorong Jalan Sapi, Jeram Perdah.
“Pemeriksaan di lokasi motosikal terbabit menemukan dua beg, masing-masing beg galas berwarna merah jambu dan kelabu serta beg pakaian berwarna hijau dan putih.
“Hasil pemeriksaan menemukan 100 ketulan mampat kehijauan disyaki ganja dengan anggaran berat keseluruhan 11 kg,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Daripada jumlah itu, 40 ketulan seberat 4.4 kg ditemukan dalam beg galas, manakala 60 ketulan lagi seberat 6.6 kg ditemukan dalam beg pakaian berkenaan.
Turut dirampas sebuah motosikal tanpa nombor pendaftaran serta satu anak kunci kenderaan.
Nilai keseluruhan rampasan dadah dan motosikal dianggarkan bernilai RM35,100.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Semua barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.