Empat sahabat baik mangsa lemas selamat dikebumikan dalam satu liang

Foto RTM

KULIM, 15 September – Keempat-empat mangsa lemas di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan di sini, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Karangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Empat kanak-kanak lemas selepas terjatuh ketika cuba mengambil bola dalam longkang sedalam kira-kira 10 kaki.
  • Mereka adalah sahabat baik yang sering keluar bermain bersama.
  • Dua mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian, dua lagi meninggal semasa dalam perjalanan ke hospital.

Jenazah Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis, 12; Muhammad Zafril Arsyad Muhamad Azrin, 12, Muhammad Iman Nuruddin Khairol Anuar, 10, dan Muhammad Arif Naufan Abdullah, 8; dikebumikan dalam satu liang seperti hasrat keluarga empat kanak-kanak yang maut berkenaan.

Menurut bapa kepada dua mangsa, Mohd Ashrafudin Ramzan, empat sahabat baik ini sering keluar bermain bersama.

Terdahulu, kesemua jenazah disolatkan di Masjid Sungai Karangan sebelum dibawa ke tanah perkuburan selepas selesai proses bedah siasat dilakukan di Unit Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Suasana hiba dan pilu sebaik sahaja kesemua jenazah tiba di pekarangan masjid dengan diiringi keluarga mangsa, sahabat handai dan penduduk sekitar taman perumahan berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Syamsul Sinring dalam kenyataannya berkata siasatan awal mendapati kesemua mangsa keluar dari kediaman masing-masing untuk bermain bola sebelum bola berkenaan dipercayai jatuh ke dalam longkang dengan kedalaman kira-kira 10 kaki.

Kesemua mangsa dipercayai terjatuh ketika cuba mengambil bola tersebut.

Dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi mangsa meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Kulim.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.