
KUALA LUMPUR, 15 September – Seramai 30 warga asing terdiri daripada warga Bangladesh (27), Myanmar (1) dan Indonesia (2) ditahan dalam Op Serkap kerana disyaki melakukan kegiatan penyediaan Pas Lawatan Kerja Sementara elektronik (e-PLKS) palsu di Jalan Chan Sow Lin, di ibu negara pada Isnin.
- Operasi serentak ke atas 11 premis komersial dijalankan oleh 40 pegawai, kira-kira 12.50 tengah hari, bagi tumpaskan sindiket pemalsuan dokumen.
- Pegawai menyita 18 komputer riba, 21 pencetak/pengimbas, tiga telefon bimbit, 10 pasport antarabangsa dan cetakan e-PLKS serta laporan polis disyaki palsu.
- Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan peraturan berkaitan; pelaku boleh dikenakan tindakan tegas.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dalam kenyataan memaklumkan, menerusi operasi pertama seramai 11 warga Bangladesh terdiri daripada 10 lelaki dan seorang wanita berusia antara 23 hingga 48 tahun, ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut.
“Siasatan awal mendapati premis-premis berkenaan dipercayai menawarkan perkhidmatan menyediakan e-PLKS yang disyaki palsu dengan bayaran sekitar RM150 bagi setiap dokumen, manakala laporan polis palsu ditawarkan pada kadar sekitar RM70 setiap satu.
“Dokumen-dokumen tersebut dipercayai digunakan bagi mengaburi pihak kedutaan dalam urusan permohonan pasport antarabangsa Bangladesh,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sementara itu menerusi satu lagi operasi yang dilakukan di kawasan sama, seramai 19 warga asing terdiri daripada 16 warga Bangladesh iaitu 15 lelaki dan seorang wanita, seorang wanita Myanmar serta dua wanita Indonesia ditahan.
Kesemua warga asing yang ditahan telah ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi tujuan siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta peruntukan undang-undang lain yang berkaitan.
Kes disiasat bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963
Operasi serentak ke atas 11 premis komersial di ibu negara itu dilakukan kira-kira 12.50 tengah hari pada Isnin melibatkan sepasukan 40 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Pasukan operasi turut menyita 18 unit komputer riba, 21 unit pencetak dan pengimbas, tiga unit telefon bimbit, 10 naskhah pasport antarabangsa Bangladesh serta beberapa cetakan e-PLKS dan laporan polis yang disyaki palsu.
Mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen atau terlibat dalam pemalsuan dokumen berdepan tindakan tegas.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menggunakan perkhidmatan pihak atau ejen yang tidak sah bagi sebarang urusan imigresen serta memastikan semua urusan dibuat melalui saluran yang sah.