Bojan Hodak sokong Ab Ghani terajui FAM

Bojan Hodak / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 September – Bekas ketua jurulatih skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara, Bojan Hodak, secara terbuka menyatakan sokongan terhadap Datuk Ab Ghani Hassan untuk dipilih sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memberi kepercayaan penuh kepada barisan kejurulatihan tanpa campur tangan teknikal, tetapi sedia membantu bila diperlukan.
  • Mengutamakan kebajikan pasukan, memastikan kelengkapan latihan dan fasiliti berada dalam keadaan terbaik tanpa menonjolkan diri.
  • Kerjasama mantap membuahkan kemenangan bersejarah AFF B-19, dan Bojan melihat beliau sebagai calon paling sesuai memikul tanggungjawab.

Menurut Bojan, sokongan tersebut berasaskan pengalamannya berkhidmat di bawah pengurusan Datuk Ab Ghani sewaktu membimbing skuad muda negara, yang disifatkannya memiliki ciri kepimpinan tulen dan sentiasa mengutamakan kepentingan pasukan berbanding peribadi.

Sepanjang dua tahun bekerjasama, beliau mendedahkan bahawa Datuk Ab Ghani yang ketika itu bertindak sebagai pengurus pasukan memberikan kepercayaan penuh kepada barisan kejurulatihan tanpa sebarang campur tangan dalam urusan teknikal.

“Kali pertama kami bertemu, beliau telah menegaskan komitmennya untuk menyokong saya selaku ketua jurulatih. Beliau tidak pernah mengganggu urusan pasukan, namun sentiasa menjadi individu pertama yang tampil membantu sekiranya kami memerlukan sokongan.

“Datuk Ab Ghani bukan seorang yang gemar menonjolkan diri di hadapan, sebaliknya beliau sentiasa memastikan segala kebajikan, kelengkapan latihan dan fasiliti pasukan berada dalam keadaan terbaik tanpa sebarang gangguan luar. Bagi saya, itulah karakter sebenar seorang pemimpin,” katanya ketika dihubungi RTM.

Kerjasama mantap antara kedua-dua individu itu membuahkan hasil bersejarah apabila skuad B-19 negara menamatkan badi kejuaraan dengan menewaskan Myanmar 4-3 pada akhir Kejuaraan AFF B-19 lapan tahun lalu, sekali gus memadam rekod lima kali bergelar naib juara sebelum itu.

Meskipun Bojan pernah bekerjasama dengan kedua-dua calon tersebut, namun beliau melihat Datuk Ab Ghani sebagai calon paling tepat untuk menggalas amanah tersebut.

“Berdasarkan pengalaman saya bersama kedua-duanya (Datuk Seri Shahril Mokhtar dan Datuk Ab Ghani), Datuk Ab Ghani lebih sesuai untuk memikul tanggungjawab ini. Kualiti kepimpinan itu sememangnya sudah ada dalam diri beliau,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.