Teknologi BIM jimat RM157 juta dana negara dalam Projek Pan Borneo Sarawak

Foto Kementerian Kerja Raya

PUTRAJAYA, 15 September – Penggunaan teknologi Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) terbukti menjadi medium paling berkesan dalam memastikan perbelanjaan kewangan negara ditadbir secara optimum, khususnya melalui langkah penjimatan kos projek infrastruktur utama serta pengurangan pembaziran tenaga dan masa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penggunaan BIM pada pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak 2016 menyelesaikan lebih 3,000 kesilapan lukisan reka bentuk.
  • BIM mengelak risiko kelewatan projek melebihi 10 tahun, membantu memastikan jadual siap terpelihara.
  • BIM menjimatkan RM157 juta dana negara melalui pencegahan penangguhan dan pembetulan awal.
  • Kerajaan memperuntuk RM83.3 juta untuk 16 Makmal BIM, mengurangkan kos operasi kontraktor dan kos lesen perisian.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Azman Ibrahim berkata, keberkesanan teknologi itu terbukti apabila pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak pada 2016 berjaya mengelak kerugian besar serta penangguhan tempoh masa yang kritikal.

“Pada tahun 2016, kita telah melaksanakan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak menggunakan teknologi BIM. Hasilnya, kita berjaya menyelesaikan lebih daripada 3,000 kesilapan pada lukisan reka bentuk.

“Sekiranya isu ini tidak ditangani awal, projek tersebut berisiko mengalami kelewatan melebihi 10 tahun. Menerusi penyelesaian ini, kerajaan bukan sahaja dapat mengelak penangguhan malah menyelamatkan dana negara sebanyak RM157 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Malaysia BIM Day 2026: Putrajaya Digital Built yang dirasmikan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.

Datuk Seri Azman menambah, impak penjimatan kewangan menerusi kaedah digitalisasi ini turut diperkukuh dengan langkah kerajaan memperuntuk RM83.3 juta bagi mewujudkan 16 Makmal BIM di seluruh negara termasuk di JKR dan CIDB.

“Inisiatif penyediaan kemudahan ini secara langsung dapat mengurangkan bebanan kos operasi para kontraktor dan juruperunding daripada terpaksa mengeluarkan dana yang besar untuk membeli lesen perisian mahal, selain memastikan aset awam seperti di Putrajaya diselenggara dengan kos berhemah,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.