
JAKARTA, 14 September – Usaha pencarian 129 penumpang yang masih hilang selepas kapal penumpang Virgo Transport 8 yang membawa 243 orang karam di Laut Jawa pada Ahad, dengan lebih 600 anggota penyelamat dikerahkan bagi meneruskan operasi mencari dan menyelamat.
- Operasi mencari dan menyelamat disambung; ratusan anggota bersama beberapa kapal dikerahkan untuk mencari mangsa.
- Enam orang disahkan maut, manakala ramai penumpang masih hilang selepas kejadian.
- Kapal dipercayai karam dipukul ombak kuat; rakaman menunjukkan ia terbalik dan separa tenggelam, punca kini dalam siasatan.
Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Banjarmasin, I Putu Sudayana berkata, seramai 622 anggota bersama kira-kira 12 kapal terbabit dalam operasi berkenaan, yang disambung sejak awal pagi Isnin.
“Kami meneruskan pencarian mangsa yang hilang sejak awal pagi. Kami mengerahkan 622 anggota dan kira-kira 12 kapal,” katanya kepada Reuters.
Menurutnya, angka kematian kekal enam orang setakat pagi Isnin.
Kapal berkenaan dilaporkan hilang susulan cuaca buruk pada awal Ahad ketika dalam perjalanan dari Surabaya, Jawa Timur ke Banjarmasin, Kalimantan Selatan.
Agensi penyelamat memaklumkan 108 orang telah berjaya diselamatkan setakat ini.
Rakaman video yang dikongsikan agensi itu menunjukkan kapal berwarna merah dan hitam tersebut terbalik serta sebahagiannya tenggelam dalam keadaan laut bergelora, dengan bahagian bawah kapal berwarna merah kelihatan di permukaan air.
Dua bot kecil yang membawa beberapa individu turut kelihatan berhampiran kapal karam itu.
Pegawai Agensi Nasional Mencari dan Menyelamat Indonesia, Edy Prakoso, berkata kapal berkenaan dipercayai senget dengan teruk selepas dipukul ombak kuat pada bahagian kanan kapal.
Menteri Pengangkutan Indonesia, Dudy Purwagandhi pula berkata sebuah helikopter yang melalui kawasan berkenaan melaporkan kapal itu telah karam, manakala punca kejadian masih dalam siasatan.
Indonesia yang terdiri daripada kira-kira 17,000 pulau banyak bergantung kepada pengangkutan feri kerana perjalanan laut lebih murah dan mudah diakses berbanding penerbangan.
Kemalangan membabitkan feri juga kerap berlaku di negara itu.
Bulan lalu, dua feri yang masing-masing membawa ratusan penumpang terbakar dalam kejadian berasingan.
Lima orang maut selepas sebuah feri terbakar di perairan berhampiran Pulau Madura, manakala seorang lagi maut dalam kebakaran feri yang dalam perjalanan dari pulau peranginan Bali. – REUTERS