
MALDIVES, 15 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berbincang dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berhubung cadangan supaya syarikat minyak nasional itu meneliti kemungkinan menjalankan eksplorasi minyak di Maldives.
- Anwar yakin dengan keupayaan dan pengalaman luas Petronas dalam industri minyak dan gas antarabangsa.
- Petronas sudah wujud di banyak pasaran global termasuk Kanada hingga Brazil, mencerminkan pengalaman antarabangsa.
- Perdana Menteri berkata pengembangan operasi ke Maldives bukan masalah besar.
- Kenyataan itu disampaikan dalam sidang media bersama Presiden Maldives di Pejabat Presiden hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan yakin dengan keupayaan dan pengalaman luas Petronas dalam industri minyak dan gas di peringkat antarabangsa.
“Mengenai cadangan supaya Petronas meneliti kemungkinan eksplorasi minyak di Maldives, saya perlu membincangkan perkara ini dengan Petronas.
“Saya yakin dengan kekuatan Petronas pada masa kini di seluruh dunia, dari Kanada hingga Turkmenistan, Sudan, Suriname, Peru dan Brazil. Saya berpandangan tidak menjadi masalah besar untuk melebarkan sayap lebih dekat ke sini, iaitu ke Maldives,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu, di Pejabat Presiden, di sini, hari ini.
Kehadiran Petronas di pelbagai pasaran minyak dan gas di seluruh dunia mencerminkan keupayaan syarikat minyak nasional itu untuk meneroka peluang baharu di peringkat antarabangsa.