Banjir dan tanah runtuh Nepal : 21 maut, lebih 1,500 penduduk dipindahkan

Hujan berterusan sejak Khamis mencetuskan banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan di Nepal / Foto VIORY

KATHMANDU, 28 September – Sekurang-kurangnya 21 orang maut manakala lebih 1,500 penduduk dipindahkan selepas hujan berterusan sejak Khamis mencetuskan banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan di Nepal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sungai Narayani melimpah, membanjiri penempatan di kawasan tanah rendah selatan-tengah negara pada Ahad.
  • Paras sungai di Devghat mencapai rekod 11.94 meter, paras tertinggi sejak pengukuran bermula 1963.
  • Arus deras berlumpur menghanyutkan pokok dan infrastruktur; tanah runtuh menghalang laluan, menyukarkan usaha pasukan keselamatan.

Di kawasan tanah rendah selatan-tengah negara itu, Sungai Narayani melimpah dan membanjiri penempatan penduduk pada Ahad.

Jabatan Hidrologi dan Meteorologi Nepal melaporkan, paras sungai di Devghat melepasi paras bahaya sembilan meter pada awal pagi sebelum mencecah rekod 11.94 meter pada 2.10 petang, paras tertinggi sejak rekod pengukuran bermula pada 1963.

Arus deras berlumpur merempuh kawasan berhampiran sungai, menenggelamkan pokok dan infrastruktur sekitar.

Sebahagian jalan turut runtuh, manakala penghadang jalan dan tumbuhan dihanyutkan arus.

Di Butwal, Sungai Tinau turut melimpah dan menghanyutkan enam rumah, menyebabkan lebih 1,000 penduduk dari kawasan berisiko dipindahkan pada malam sebelumnya.

Tanah runtuh pula menghalang beberapa laluan di beberapa daerah, menyukarkan usaha pasukan keselamatan untuk sampai ke kawasan terjejas.

Angka korban terkini akibat banjir, tanah runtuh dan hujan lebat meningkat kepada sekurang-kurangnya 21 orang, manakala beberapa lagi masih dilaporkan hilang. – VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.