Myanmar nafi dakwaan genosid Rohingya di ICJ

Kes dakwaan genosid terhadap etnik Rohingya didengar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague. Foto AFP

THE HAGUE, 16 Januari – Myanmar menolak dakwaan melakukan genosid terhadap etnik Rohingya dan menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas ketika berhujah di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

RINGKASAN BERITA AI
  • Myanmar menafikan dakwaan genosid terhadap Rohingya di ICJ, menyifatkannya tidak berasas.
  • Kerajaan menegaskan operasi tentera Tatmadaw bertujuan membanteras kumpulan militan, bukan menyerang etnik.
  • Myanmar menuntut keputusan berdasarkan bukti kukuh, bukan retorik emosional atau gambaran fakta kabur.

Menteri di Pejabat Presiden Myanmar, Ko Ko Hlaing, berkata kes berkenaan perlu diputuskan berdasarkan fakta yang terbukti dan bukan dakwaan yang tidak disokong bukti.

Beliau berkata penggunaan bahasa beremosi serta gambaran fakta yang kabur tidak boleh menggantikan pembentangan fakta yang ketat dan berlandaskan bukti.

Myanmar mempertahankan diri daripada tuduhan yang difailkan oleh Gambia, berhubung operasi ketenteraan terhadap minoriti Rohingya pada 2017.

Kerajaan Myanmar menegaskan operasi oleh angkatan tenteranya, Tatmadaw, dijalankan bagi membanteras kumpulan militan Rohingya selepas beberapa serangan mengorbankan belasan anggota keselamatan.

Ko Ko Hlaing berkata Myanmar tidak boleh berdiam diri dan membenarkan kumpulan pengganas bermaharajalela di utara negeri Rakhine.

Beliau menambah operasi pembersihan yang dijalankan merupakan istilah ketenteraan bagi operasi menentang pemberontakan dan keganasan.-AFP