
KUALA LUMPUR, 12 Mei- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup sementara laluan di Jalan Wangsa Delima 4, Wangsa Maju selama dua minggu susulan kejadian lubang benam yang berlaku di kawasan berkenaan, pada Isnin (11 Mei).
- Pemeriksaan awal mendapati kerosakan pada struktur longkang utama dan takungan.
- Struktur takungan mempunyai tembok pecah dan sisa runtuhan tidak ditemukan.
- Kawasan berhampiran ada utiliti aktif; kemungkinan kerja Horizontal Directional Drilling sebelum ini menjadi punca.
- DBKL dan penyedia utiliti menjalankan siasatan lanjut serta menubuhkan pasukan petugas khas.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kerosakan pada struktur longkang utama dan takungan di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, DBKL bersama penyedia utiliti kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Hasil tinjauan pada Isnin (11 Mei) mendapati terdapat saluran paip utama (main drain) berdiameter 1.5 meter bersama sebuah takungan (sump). Struktur takungan tersebut berfungsi untuk menampung air ketika perbezaan aras berlaku sebelum dialirkan keluar.”
“Bagaimanapun, kita mendapati tembok pada struktur takungan itu telah pecah, namun sisa runtuhannya gagal ditemukan. Selain itu, kawasan bersebelahan dikesan mempunyai utiliti aktif dan terdapat kemungkinan berlaku kerja-kerja utiliti sebelum ini yang dijalankan secara penggerudian mendatar HDD,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Menara 1 DBKL, hari ini.
Tambahnya, terdapat kemungkinan kerja utiliti menggunakan kaedah Horizontal Directional Drilling (HDD) menjadi punca kerosakan struktur perparitan tersebut.
Susulan itu, laluan di lokasi kejadian ditutup sementara selama dua minggu bagi kerja pembaikan dan siasatan lanjut dijalankan.
Dalam perkembangan sama, DBKL turut menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani isu lubang benam dan kerosakan jalan di ibu kota.