
AMPANG, 12 Mei – Semua platform perkhidmatan gig digesa melaksanakan proses pendaftaran melibatkan maklumat pekerja dan caruman automatik berkadar 1.25 peratus.
- PERKESO menggesa semua platform gig mendaftar pekerja dan berkongsi maklumat kepada agensi untuk pemprosesan bantuan.
- Tanpa data pekerja, PERKESO sukar beri bantuan ketika kemalangan atau kematian, menyebabkan ketidakadilan kepada pekerja gig.
- Setakat semalam tujuh daripada 14 platform telah menyelesaikan proses pendaftaran dan berkongsi data.
- Kes pemandu e-hailing maut mendapat perhatian; PERKESO mengesahkan pemegang insurans layak terima beberapa faedah.
Langkah tersebut penting bagi memastikan kebajikan pekerja gig terus terjamin.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, setakat semalam, tujuh daripada 14 platform penyedia perkhidmatan gig selesai melaksanakan proses pendaftaran.
Beliau memohon agar platform penyedia perkhidmatan terlibat untuk mempercepatkan proses pendaftaran dengan memberikan maklumat pekerja mereka kepada PERKESO.
“Saya berterima kasih kepada tujuh penyedia yang telah berkongsi maklumat data yang mana sangat penting.
“Kalau kita tiada data atau maklumat pekerja gig susah untuk kita nak proses (berikan bantuan).
“Saya ingin tekankan kalau boleh platform penyedia perkhidmatan lain percepatkan sebab tidak adil untuk pekerja gig jika berlaku kemalangan atau kematian kerana kita tiada maklumat dan sukar untuk membantu,” katanya pada Program Ziarah Prihatin Ke Rumah Orang Berinsurans di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Mohammed Azman memaklumkan bahawa pemandu e-hailing, Jailani Sapiih, 41, yang terlibat dalam kemalangan maut melibatkan warga Bangladesh di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) pada 23 April lepas, layak menerima beberapa faedah daripada PERKESO.