
KUALA LUMPUR, 12 Mei – Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh kawalan keselamatan sempadan negara menerusi peluasan penggunaan teknologi pengimbasan moden berteraskan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan pintu masuk negara lebih selamat, cekap dan berintegriti.
- 184 unit mesin pengimbas baharu diperluaskan ke pintu masuk strategik termasuk KSAB, Kelantan dan Perlis.
- Kerajaan komited meningkatkan penggunaan teknologi pengimbasan bagi keselamatan negara dan kelancaran ekonomi.
- Langkah itu mempertingkat pengesanan ancaman rentas sempadan seperti penyeludupan dadah, senjata, barang subsidi dan pemerdagangan manusia.
- Pendekatan Satu Agensi, Satu Kawalan melalui AKPS guna AI, OCR, portal radiasi dan mobile scanner untuk penyelarasan operasi sempadan.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sebanyak 184 unit mesin pengimbas baharu sedang diperluaskan di pintu masuk strategik negara termasuk di Johor menerusi Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), selain Kelantan dan Perlis.
Jelasnya, kerajaan komited meningkatkan penggunaan teknologi pengimbasan sempadan bagi memastikan aspek keselamatan negara dan kelancaran ekonomi dapat bergerak seiring.
Katanya, langkah itu juga bertujuan mempertingkat keupayaan pengesanan ancaman rentas sempadan seperti penyeludupan dadah, senjata api, barang subsidi dan aktiviti pemerdagangan manusia.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan kedaulatan negara tidak dikompromi, selain memperkukuh integriti kawalan sempadan negara,” katanya dalam hantaran di Facebook Kementerian Dalam Negeri hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata pendekatan “Satu Agensi, Satu Kawalan” di bawah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) turut memperkukuh penyelarasan operasi sempadan negara melalui penggunaan teknologi AI-enabled, sistem pengecaman aksara optik (OCR), portal pemantauan radiasi (RPM) serta mobile scanner berteknologi tinggi.
Menurut beliau, penggunaan teknologi tersebut bukan sahaja memperkukuh aspek keselamatan negara, malah membantu melancarkan perdagangan serta pergerakan logistik di pintu masuk utama negara secara lebih efisien dan pantas.
Kenyataan itu dikeluarkan AKPS sempena usaha berterusan kerajaan memperkasakan kawalan sempadan negara selaras dengan cabaran keselamatan dan ekonomi semasa.