Operasi haji lancar, tiada laporan penipuan diterima

Dr. Zulkiflli Hasan

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Operasi musim haji pada tahun ini berjalan lancar hasil perancangan yang teliti dan penambahbaikan yang dilakukan Lembaga Tabung Haji selain tiada sebarang aduan mengenai kes penipuan haji diterima.

RINGKASAN BERITA AI
  • TH dan JAWHAR komited memberikan perkhidmatan terbaik serta memantau isu berkaitan visa dan penipuan pakej haji.
  • Rakyat digalakkan merujuk sebarang perkara mencurigakan kepada Tabung Haji untuk pengesahan dan tindakan lanjut.
  • Lebih 21,000 jemaah haji Malaysia dilaporkan selamat tiba di tanah suci setakat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkiflli Hasan berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) serta Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) sentiasa komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik termasuk pemantauan isu berkaitan visa dan penipuan pakej haji.

“Setakat ini, Alhamdulillah, kita masih belum menerima sebarang aduan. Namun di peringkat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), khususnya Tabung Haji, JAWHAR serta agensi berkaitan, pemantauan sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, sekiranya terdapat sebarang perkara mencurigakan atau maklumat yang memerlukan pengesahan, mereka boleh merujuk kepada Tabung Haji dan pihak kami akan membantu mengesahkan sama ada perkara tersebut benar atau satu penipuan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli turut memaklumkan bahawa sehingga kini lebih 21,000 jemaah haji dari Malaysia selamat tiba di tanah suci.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 kakitangan agensi-agensi bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang diadakan di di Ibu negara.

Seramai 379 penerima diraikan sebagai penghargaan atas kecemerlangan dalam perkhidmatan sekaligus menyuntik semangat dan memacu perkhidmatan awam yang berintegriti, amanah serta penuh ihsan pada masa akan datang.

Antara agensi terlibat ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.