
TEHRAN, 4 Jun – Iran mengecam sekeras-kerasnya serangan Amerika Syarikat (AS) terhadap sebuah kapal tangki minyak Iran berhampiran Selat Hormuz dan sebuah menara komunikasi di Pulau Qeshm, serta menyifatkannya sebagai tindakan pencerobohan serta pencabulan undang-undang antarabangsa.
- Kementerian Luar: serangan jelas melanggar perjanjian gencatan senjata April dan bertentangan dengan Piagam PBB.
- Kementerian mendakwa Kuwait dan Bahrain bertanggungjawab serta mengutuk penggunaan wilayah serantau oleh AS untuk rancangan agresif.
- IRGC dakwa menyerang kapal tentera AS dan ancam tindak balas segera; CENTCOM nafikan; rundingan damai menerusi Pakistan diteruskan.
Kementerian Luar Iran dalam satu kenyataan berkata serangan itu jelas melanggar perjanjian gencatan senjata antara Iran dan AS yang dicapai pada April lalu, selain bertentangan dengan Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang melarang penggunaan kekerasan terhadap negara berdaulat.
Kementerian itu turut mengutuk penggunaan wilayah dan kemudahan negara-negara serantau oleh AS bagi melaksanakan rancangan agresif terhadap Iran.
Kementerian Luar Iran turut mendakwa Kuwait dan Bahrain tanggungjawab terhadap serangan terbaharu AS itu.
Terdahulu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memaklumkan tentera AS telah menyerang sebuah kapal tangki minyak Iran berhampiran Selat Hormuz pada malam Selasa.
Menurut IRGC, serangan turut menyasarkan sebuah menara komunikasi miliknya di Pulau Qeshm, yang terletak di selatan Iran.
Pada hari yang sama, Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi, memberi amaran bahawa sebarang tindakan bermusuhan akan dibalas dengan segera.
Beliau berkata angkatan bersenjata Iran telah melancarkan serangan balas berdasarkan hak mempertahankan diri yang sah bagi menghadapi serangan AS terhadap kapal awam Iran serta pelanggaran perjanjian gencatan senjata.
“Matlamat yang gagal dicapai menerusi sekatan dan peperangan tidak akan berjaya dicapai dengan peperangan yang lebih besar,” katanya.
Sementara itu, IRGC mendakwa pasukan tentera lautnya telah menyasarkan sebuah kapal tentera AS di Teluk Oman yang didakwa cuba menghampiri perairan wilayah Iran.
Dalam kenyataan yang disiarkan menerusi agensi rasmi, Sepah News, IRGC berkata pihaknya mengesan tindakan agresif AS, pelanggaran peraturan di Selat Hormuz serta tindakan yang didakwa mengancam kapal perdagangan Iran sebelum mengenal pasti pusat arahan di atas kapal pemusnah berkenaan dan melancarkan serangan.
IRGC turut menegaskan pasukan tenteranya sentiasa memantau pergerakan AS dan Israel serta akan bertindak balas segera terhadap sebarang ancaman.
Bagaimanapun, United States Central Command (CENTCOM) menafikan dakwaan tersebut menerusi platform X dengan menyatakan semua aset ketenteraan AS di laut terus beroperasi dengan selamat dan tanpa gangguan.
Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika Iran dan AS dilaporkan saling bertukar beberapa cadangan pelan damai sejak beberapa minggu lalu menerusi perantara Pakistan.
Kedua-dua pihak juga sedang berusaha memuktamadkan memorandum persefahaman yang bertujuan menamatkan konflik.-REUTERS