Pihak luar digesa tidak campuri pertikaian takhta Negeri Sembilan

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menerima menghadap Undang Luak Jelebu Datuk Azrin Khairi pada Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu ke-17 di Istana Besar Seri Menanti hari ini / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Raja-Raja Melayu menyeru semua pihak khususnya pihak luar supaya tidak mencampuri atau mempolitikkan pertikaian takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sebaliknya menyerahkan penyelesaiannya kepada pihak berkepentingan dan berautoriti melalui saluran yang sah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pihak luar diminta tidak mencampuri atau mempolitikkan pertikaian takhta; serahkan kepada pihak berkepentingan melalui saluran sah.
  • Selesaikan perbezaan secara beradab, beradat, berlandaskan undang-undang dan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
  • Utamakan kebijaksanaan, kesabaran dan keharmonian; jangan menyebar khabar tidak disahkan yang boleh mencemarkan institusi diraja.

Menurut kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, yang dikeluarkan dengan menjunjung titah Raja-Raja Melayu hari ini, semua pihak terlibat turut diseru mengutamakan kebijaksanaan, kesabaran serta menghormati adab, adat dan maruah institusi diraja.

“Raja-Raja Melayu menegaskan bahawa isu berkenaan tidak seharusnya dijadikan modal politik untuk meraih sokongan, meningkatkan pengaruh atau memenuhi agenda perebutan kuasa.

“Kenyataan yang bercanggah dan tidak bertanggungjawab juga dikhuatiri boleh mengeruhkan keadaan, meningkatkan ketegangan, mengelirukan rakyat serta mencemarkan kemuliaan institusi diraja,” katanya.

Sehubungan itu, sebarang perbezaan pendirian perlu diselesaikan secara beradab dan beradat menerusi semangat syura serta musyawarah, berlandaskan undang-undang dan peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

“Raja-Raja Melayu turut mengingatkan bahawa takhta merupakan amanah besar yang membawa tanggungjawab terhadap negeri dan rakyat.

“Justeru, semangat kekeluargaan, keharmonian masyarakat serta kemuliaan institusi diraja perlu terus dipelihara sepanjang usaha mencari penyelesaian, selain mengelakkan sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh mengaibkan mana-mana pihak,” katanya.

Orang ramai turut diseru supaya tidak menyebarkan khabar yang belum disahkan atau terpengaruh dengan naratif yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

Raja-Raja Melayu juga mendoakan agar semua pihak berkaitan dikurniakan kebijaksanaan untuk mengawal emosi dan mengutamakan muafakat dalam menyelesaikan perselisihan.

Kenyataan itu menegaskan bahawa kepentingan Negeri Sembilan, kesejahteraan rakyat dan kemuliaan institusi diraja hendaklah sentiasa menjadi keutamaan, sambil memberi ruang kepada pihak berautoriti melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.