
GEORGE TOWN, 14 Oktober – Peruntukan bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam Belanjawan 2027 dilihat berpotensi memperluas peluang dan kerjasama pelbagai industri.
- Kerjasama erat antara institusi TVET dan industri memastikan latihan selari dengan keperluan pekerjaan semasa.
- Pembiayaan Belanjawan menyokong latihan sedia ada dan penerokaan bidang baharu seperti AI serta robotik.
- Usaha ini meningkatkan kebolehpasaran graduan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia.
Langkah tersebut berupaya menyokong pengembangan bidang kemahiran baharu khususnya berkaitan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan robotik seiring perkembangan teknologi serta Revolusi Industri 5.0.
Tokoh Beliawanis Negara 2026, Shameera Nasreen Ahamed Noordeen berkata, kerjasama erat antara institusi TVET dengan pihak industri penting bagi memastikan golongan belia mendapat akses kepada latihan dan kemahiran yang selari dengan keperluan semasa.
Usaha itu bukan sahaja dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan berkaitan.
“Kita sememangnya telah mempunyai pelbagai program TVET, bagaimanapun saya berpandangan bahawa kerjasama yang lebih erat dengan pihak industri dapat membuka lebih banyak peluang kepada pelajar dan belia, bukan sahaja dari segi pilihan bidang pendidikan dan latihan, malah peluang pekerjaan.
Memandangkan kita kini sedang bergerak ke arah Revolusi Industri 5.0, selain perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI), saya percaya peruntukan ini dapat dimanfaatkan untuk meneruskan latihan dalam bidang sedia ada, di samping meneroka bidang-bidang baharu seperti robotik dan AI,” katanya dalam satu sesi temu bual bersama RTM Pulau Pinang.
Pada pembentangan Belanjawan 2027, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan TVET berjumlah RM8 bilion untuk meningkatkan kemahiran serta kebolehpasaran dalam kalangan anak muda.