
KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Belanjawan 2027 diyakini memberi manfaat kepada rakyat menerusi penambahbaikan sistem cukai dan subsidi, peningkatan kemahiran tenaga kerja serta peluasan akses pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
- Kenaikan pelepasan cukai individu kepada RM12,000 serta kesinambungan STR dan SARA membantu golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
- Penambahbaikan subsidi menumpukan bantuan kepada yang layak dengan pengecualian warga asing serta usaha kurangkan penyeludupan dan ketirisan.
- Pelaburan dalam TVET dan latihan berkaitan AI termasuk baucar bagi meningkatkan kemahiran dan ketahanan tenaga kerja.
- Sokongan kepada PMKS melalui mikrokredit dan penggunaan ejen AI dalam pemasaran, pembekalan dan perakaunan untuk tingkatkan produktiviti.
Penasihat Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein berkata, kenaikan pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 dijangka memberi manfaat kepada golongan berpendapatan sederhana, manakala Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terus membantu golongan berpendapatan rendah.
Menurutnya, penambahbaikan sistem subsidi yang dilaksanakan sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini bertujuan memastikan bantuan disasarkan kepada golongan yang benar-benar layak, termasuk menerusi pengecualian warga asing daripada sistem subsidi.
“Langkah ini memastikan manfaat subsidi dinikmati rakyat yang berhak.
“Kita juga mengambil langkah mengurangkan penyeludupan dan ketirisan, selain menambah baik pelaksanaan subsidi diesel bukan sahaja di Semenanjung Malaysia, malah di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika menjadi tetamu program Biz Malaysia di Angkasapuri.
Nurhisham berkata, penjimatan hasil penambahbaikan sistem subsidi dan usaha mengurangkan ketirisan membolehkan kerajaan menyalurkan semula manfaat kepada rakyat.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaburan dalam pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), selain peningkatan kemahiran berkaitan kecerdasan buatan (AI), penting bagi membantu tenaga kerja menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran pekerjaan.
“Peningkatan dan latihan semula kemahiran amat penting, bukan sahaja melalui peruntukan TVET, malah menerusi baucar berkaitan AI.
“Kita tahu AI menimbulkan kebimbangan mengenai kehilangan pekerjaan, tetapi perkembangan ini tidak dapat dielakkan. Oleh itu, kita perlu memahami cara memanfaatkan peluang yang ditawarkan AI dan mengintegrasikan teknologi ini dalam ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada PMKS melalui kemudahan pembiayaan, termasuk mikrokredit, serta penggunaan teknologi AI bagi meningkatkan produktiviti dan memperluas pasaran perniagaan.
Menurutnya, penggunaan ejen AI dalam pemasaran, pencarian sumber bekalan dan perakaunan berpotensi membantu perniagaan kecil meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan beban kerja serta meningkatkan keuntungan.
Langkah itu penting bagi memastikan PMKS bukan sahaja mampu bertahan dalam persekitaran ekonomi mencabar, malah berupaya berkembang dan menyumbang lebih besar kepada pertumbuhan ekonomi negara.