
PERANCIS, 14 Oktober – Kebakaran besar memusnahkan bumbung seluas kira-kira 1,000 meter persegi sebuah bangunan yang sedang menjalani kerja pengubahsuaian berhampiran Stesen Kereta Api Austerlitz di Paris pada Rabu.
- Tiada kecederaan dilaporkan; anggota bomba berjaya mengawal kebakaran.
- Tapak pembinaan dikosongkan; semua pekerja dilaporkan selamat menurut Bouygues Construction.
- Api merebak ke tingkat empat; operasi pemadaman melibatkan kira-kira 100 anggota bomba dan 30 kenderaan kecemasan.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kematian dilaporkan, manakala kebakaran berjaya dikawal oleh anggota bomba, menurut Briged Bomba Paris (BSPP).
Bouygues Construction, syarikat yang terlibat dalam projek berkenaan, memaklumkan tapak pembinaan kendalian Bouygues Bâtiment Île-de-France telah dikosongkan dan semua pekerja dilaporkan selamat.
“Anggota bomba kini giat menjalankan operasi bagi mengawal kebakaran dan memastikan kawasan berkenaan selamat,” menurut syarikat itu.
Bouygues Construction turut menjelaskan bahawa punca kebakaran masih belum dikenal pasti.
Menurut pegawai komunikasi BSPP, kebakaran berlaku di sebuah bangunan di 3, Boulevard de l’Hôpital yang terletak bersebelahan dengan Stesen Austerlitz.
“Keseluruhan bumbung seluas kira-kira 1,000 meter persegi telah musnah, manakala api turut merebak ke tingkat empat, iaitu tingkat paling atas bangunan itu,” katanya kepada Agensi Berita AFP.
Sementara itu, syarikat kereta api kebangsaan Perancis, SNCF, mengesahkan bangunan yang terjejas merupakan bangunan tambahan kepada kompleks stesen berkenaan.
Menurut SNCF, kejadian itu tidak menjejaskan operasi perkhidmatan kereta api mahupun laluan masuk dan keluar stesen.
Operasi memadam kebakaran melibatkan kira-kira 100 anggota bomba dan 30 kenderaan kecemasan.
Sebelum 11 pagi waktu tempatan, beberapa trak bomba dilihat ditempatkan di sepanjang Boulevard de l’Hôpital dan Quai d’Austerlitz, manakala pekerja tapak pembinaan menunggu di tepi jalan selepas bangunan itu dikosongkan.-AFP