Pakistan, Oman perkukuh kerjasama bidang perdagangan dan pelaburan

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Mohammad Ishaq Dar mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Oman, Badr Al Busaidi / Foto Viory

ISLAMABAD, 14 Oktober – Pakistan dan Oman menyatakan komitmen memperkukuh hubungan dua hala serta menekankan kepentingan meneruskan penglibatan di peringkat tinggi untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang yang menjadi kepentingan bersama khususnya bidang perdagangan, pelaburan dan hubungan rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pakistan dan Oman komited memperkukuh hubungan dua hala serta meneruskan penglibatan peringkat tinggi dalam perdagangan, pelaburan dan hubungan rakyat.
  • Kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan menekankan kepentingan dialog serta diplomasi bagi kestabilan dan keamanan berkekalan.
  • Mereka akan mempengerusikan bersama Sidang Kelapan Suruhanjaya Menteri Bersama Pakistan-Oman untuk membincang usaha memperkukuh kerjasama dan hubungan dua negara.

Kementerian Luar Pakistan menerusi kenyataan memaklumkan, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Mohammad Ishaq Dar mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Oman, Badr Al Busaidi di sini pada Rabu.

“Kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau di samping menekankan kepentingan dialog dan diplomasi dalam mencapai kestabilan dan keamanan yang berkekalan,” menurut kementerian itu.

Sementara itu, Badr Al Busaidi berkata, pihaknya menghargai usaha Islamabad dalam mempromosikan keamanan dan keselamatan serantau.

Manakala, Mohammad Ishaq turut menghargai peranan konstruktif Oman selain menyatakan, kedua-dua negara berkongsi aspirasi yang sama untuk mencapai keamanan dan kestabilan di rantau berkenaan.

Pertemuan tersebut berlangsung menjelang kedua-dua menteri akan mempengerusikan bersama Sidang Kelapan Suruhanjaya Menteri Bersama Pakistan-Oman, platform bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara.

Badr Al Busaidi tiba di Islamabad pada Selasa bagi lawatan rasmi dua hari ke Pakistan, dari 13 hingga 14 Oktober.

Ketibaan beliau disambut oleh Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Ekonomi Pakistan serta Setiausaha Tambahan bagi Hal Ehwal Timur Tengah di Kementerian Luar negara itu.-VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.