China-Togo perkukuh hubungan dua hala depani era baharu

Presiden China, Xi Jinping bersama Presiden Majlis Menteri-Menteri Togo, Faure Essozimna Gnassingbe semasa pertemuan di Beijing pada Selasa / Foto Viory

BEIJING, 14 Oktober – China dan Togo bersetuju memperkukuh hubungan dua hala kepada komuniti berkongsi masa depan untuk era baharu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertemuan Xi Jinping dengan Presiden Majlis Menteri-Menteri Togo, Faure Gnassingbe, semasa lawatan rasmi Gnassingbe ke China (9-16 Okt).
  • Xi mengalu-alukan usaha Togo meluaskan penggunaan yuan dalam urus niaga rentas sempadan.
  • China mahu kerjasama lebih mendalam dalam tenaga boleh baharu, teknologi digital dan pembangunan industri.
  • Beijing berikrar membantu Togo mendapat akses keutamaan ke pasaran China; Gnassingbe mahu pelaburan China dalam infrastruktur dan teknologi.

Persetujuan itu dicapai semasa pertemuan Presiden China, Xi Jinping dengan Presiden Majlis Menteri-Menteri Togo, Faure Essozimna Gnassingbe yang berlangsung di sini pada Selasa.

“China dan Togo berkongsi visi yang sama dalam menjalin kerjasama persahabatan dan memperluaskan prospek kerjasama yang lebih luas.

“Disebabkan visi tersebut, saya mencadangkan supaya hubungan dua hala ditingkatkan kepada komuniti China-Togo berkongsi masa depan untuk era baharu,” kata Xi Jinping.

Sementara itu, Gnassingbe menyambut baik perkara tersebut dan menegaskan komitmen negaranya untuk memperkukuh hubungan dengan Beijing.

“Kami merakamkan penghargaan tulus atas keputusan anda untuk meningkatkan hubungan dua hala kepada komuniti Togo-China berkongsi masa depan untuk era baharu.

“Kami akan memberi bekerjasama untuk memenuhi kepercayaan itu,” katanya.

Pertemuan berkenaan diadakan bersempena lawatan rasmi Gnassingbe ke China bermula dari 9 hingga 16 Oktober ini atas undangan Perdana Menteri China, Li Qiang.

Dalam pertemuan itu, Xi Jinping turut mengalu-alukan usaha Togo memperluas penggunaan yuan China dalam urus niaga rentas sempadan, selain mahu kerjasama lebih mendalam dalam sektor tenaga boleh baharu, teknologi digital dan pembangunan industri.

Beijing turut berikrar membantu Togo memanfaatkan akses keutamaan ke pasaran China, manakala Gnassingbe menyatakan minat untuk menarik lebih banyak pelaburan China dalam sektor infrastruktur dan teknologi.

China dan Togo menjalin hubungan diplomatik pada 1972 sebelum meningkatkan hubungan mereka kepada perkongsian strategik komprehensif pada 2024.

Xi berkata kedua-dua negara saling menyokong selama ini, sekali gus menyumbang kepada usaha membina komuniti China-Afrika berkongsi masa depan dalam segala keadaan.-VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.