
TRIPOLI, 14 Oktober – Seorang maut manakala kenderaan dan kediaman ditenggelami air, susulan banjir kilat selepas hujan lebat melanda ibu negara Libya, Tripoli, pada Selasa.
- Jalan raya ditenggelami air, paras banjir di beberapa kawasan melebihi separuh ketinggian kereta.
- Jalan pusat bandar dan pinggir timur ditutup; ribuan kenderaan terkandas, kesesakan lalu lintas teruk.
- Syarikat elektrik memutus bekalan; pihak berkuasa nasihatkan elak sumber elektrik dan kawasan digenangi air.
- Pusat Meteorologi amaran cuaca tidak menentu; sistem tekanan rendah dari Greece, angin kencang dan hujan berterusan dijangka.
Rakaman penduduk awam menunjukkan jalan raya ditenggelami air, dengan paras banjir di beberapa kawasan melebihi separuh ketinggian kereta.
Agensi Berita Libya melaporkan gangguan besar berlaku apabila jalan raya di pusat bandar Tripoli dan pinggir timurnya ditutup, manakala ribuan kenderaan terkandas dalam kesesakan lalu lintas yang teruk.
Susulan banjir, Syarikat Elektrik Am Libya memutuskan bekalan elektrik di beberapa kawasan ibu negara sebagai langkah berjaga-jaga selepas air banjir memasuki pencawang elektrik.
Menurut pengarah pejabat media Perbandaran Tripoli yang dipetik agensi itu, seorang penduduk maut akibat renjatan elektrik berhampiran Bank Al Jumhuriya.
Persatuan Bulan Sabit Merah Libya turut mengesahkan pihaknya menemukan mayat seorang mangsa yang maut akibat renjatan elektrik ketika banjir melanda.
Pihak berkuasa perbandaran menggesa penduduk supaya berwaspada, mengelakkan keluar rumah kecuali bagi urusan penting, memastikan keselamatan anak-anak serta menjauhi sumber elektrik dan kawasan yang digenangi air.
Pusat Meteorologi Kebangsaan Libya memberi amaran bahawa keadaan cuaca tidak menentu sedang melanda kawasan utara negara itu susulan sistem tekanan rendah yang berpusat di Greece.
Menurut ramalan cuaca, kesan sistem itu dijangka lebih ketara di timur Libya pada lewat petang, dengan angin kencang, peningkatan litupan awan dan hujan berselerak. Hujan lebat setempat juga berpotensi berlaku di sepanjang kawasan pantai. – VIORY