Bot menuju ke festival karam, 13 kanak-kanak maut

Keadaan sayu ahli keluarga mangsa ketika menunggu operasi menyelamat dijalankan/ AFP

PATNA, 14 Oktober – Perjalanan ke sebuah perayaan bertukar tragedi apabila 13 kanak-kanak maut selepas bot yang dinaiki mereka karam di Sungai Ganges, India, malam Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mayat semua mangsa berjaya ditemukan dan dikeluarkan dari sungai pada awal Rabu.
  • Penduduk tempatan menggunakan cahaya telefon bimbit menyelamatkan beberapa kanak-kanak dalam gelap.
  • Bot kecil dan rosak dipenuhi penumpang melebihi kapasiti; kemalangan kerap disebabkan muatan berlebihan dan penguatkuasaan keselamatan lemah.

Kesemua mayat mangsa berjaya ditemukan dan dibawa keluar dari sungai tersebut pada awal Rabu, menurut pegawai pasukan penyelamat.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, menyifatkan tragedi itu sebagai sesuatu yang amat menyedihkan.

Dalam kejadian, bot yang sarat dengan penumpang itu dalam perjalanan menuju ke sebuah perayaan, sebelum terbalik pada lewat Selasa di daerah Vaishali, negeri Bihar di timur laut India.

Penduduk tempatan bergegas menyelamatkan mangsa dari dalam air dalam keadaan gelap dengan menggunakan cahaya telefon bimbit untuk mencari mereka.

“Keadaan gelap apabila kami tiba-tiba terdengar kanak-kanak menjerit dan meminta pertolongan ketika bot itu terbalik,” kata seorang penduduk kampung, Ravi Yadav, yang turut menyertai operasi menyelamat, kepada AFP.

“Kami hanya berjaya menyelamatkan tiga kanak-kanak menggunakan cahaya telefon bimbit dan lampu suluh kerana keadaan terlalu gelap,” katanya lagi.

Seorang lagi penduduk kampung, Ramlakhan Rai, berkata bot itu kecil dan tidak berada dalam keadaan baik, selain dipenuhi penumpang sedangkan ia hanya sesuai untuk membawa beberapa orang sahaja.

“Keadaan ini amat menyedihkan, beberapa keluarga kehilangan kesemua anak mereka,” katanya.

Enam mangsa berjaya diselamatkan dalam keadaan masih hidup, termasuk dua kanak-kanak yang dilaporkan kritikal.

Petugas perubatan dari pusat kesihatan tempatan, Nirmal Kumar, berkata empat kanak-kanak dan dua orang dewasa dibawa ke hospital daerah.

“Kami telah berusaha sedaya upaya untuk memulihkan mereka… tetapi 13 orang sudah meninggal dunia,” katanya.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Modi berkata kehilangan nyawa dalam kejadian bot karam di Vaishali, Bihar itu amat menyedihkan, selain mengumumkan pemberian pampasan kepada keluarga mangsa.

“Ingatan dan simpati saya bersama keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam saat sukar ini,” katanya.

Kemalangan bot sering berlaku di laluan air di India dan lazimnya dikaitkan dengan jumlah penumpang berlebihan, penguatkuasaan peraturan keselamatan yang lemah serta kekurangan peralatan menyelamatkan nyawa. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.