
KUALA LUMPUR, 12 Mei – Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri di seluruh negara digesa supaya melaksanakan pengurangan kadar sewa premis atau kedai bawah seliaan masing-masing bagi membantu mengurangkan beban peniaga kecil yang terkesan akibat peningkatan kos operasi.
- MTEN mengambil maklum cabaran peniaga kecil, pengusaha pasar malam dan usahawan mikro akibat kos operasi meningkat dan aliran tunai lemah.
- Inisiatif bertujuan memastikan peniaga terus berniaga, mengurangkan beban, mengekalkan pendapatan pekerja dan menghindari premis kosong.
- Agensi Persekutuan seperti MARA kurangkan sewa 20% bermula Mei; DBKL kurangkan 50% untuk tapak penjaja hingga 31 Dis 2027.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mengambil maklum cabaran yang dihadapi terutama peniaga kecil, pengusaha pasar malam dan usahawan mikro terkesan dengan peningkatan kos operasi selain aliran tunai yang lemah.
“Usaha ini adalah untuk memastikan peniaga kecil terus berniaga, mengurangkan sedikit beban dan tekanan, pekerja terus mempunyai pendapatan, premis tidak kosong dan ekonomi komuniti terus berjalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat Krisis Bekalan Global secara dalam talian, hari ini.
Kos sewa premis menyumbang kira-kira tujuh peratus secara purata dan boleh mencecah sehingga 58 peratus daripada kos operasi perniagaan bergantung kepada jenis premis dan kategori PBT.
Susulan pengumuman Perdana Menteri minggu lepas berkaitan pengurangan kadar sewa premis perniagaan, agensi Persekutuan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah mula melaksanakan pengurangan sewa sebanyak 20 peratus melibatkan lebih 7,135 lot premis perniagaan di seluruh negara bermula Mei.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut mengurangkan kadar sewa sebanyak 50 peratus bagi tapak penjaja dan premis terpilih miliknya berkuat kuasa dari 1 April 2026 hingga 31 Disember 2027 bagi meringankan beban lebih 10,000 peniaga kecil di ibu negara.
“Kerajaan Negeri Selangor juga memberikan respons positif terhadap saranan ini dan dijangka akan mengumumkan butiran rasmi serta peratusan pengurangan dalam masa terdekat,” katanya lagi.