
KUALA LUMPUR, 12 Mei – Tenaga Nasional Bhd (TNB) menyalurkan tajaan berjumlah RM25 juta kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bagi memperkukuh pembangunan sukan hoki tanah air untuk tempoh lima tahun (2026-2030).
- TNB komited menyokong pembangunan dan kecemerlangan hoki negara melalui sokongan korporat dan program pembangunan.
- Majlis menandatangani Memorandum Perjanjian antara TNB dan KHM disaksikan Menteri Belia dan Sukan.
- Presiden KHM mengucapkan penghargaan kepada TNB dan berharap dana dimanfaatkan untuk meningkatkan prestasi hoki negara.
Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Shamsul Ahmad berkata, tajaan itu melibatkan pecahan RM5 juta setahun sebagai komitmen syarikat utiliti nasional tersebut dalam menyokong pembangunan dan kecemerlangan hoki negara.
“Kita memperuntukkan hampir RM25 juta daripada segi pembangunan, pertandingan dan juga bantuan kepada semua sekolah terlibat.
“Kita ingin melihat sukan hoki ini terus mendapat kejayaan serta dimartabatkan dan berharap suatu hari nanti, kita mampu menjadi juara dunia dalam sukan hoki,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) Penajaan antara TNB dan KHM di bagi tahun 2026 hingga 2030, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Sementara itu, Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal merakamkan penghargaan kepada TNB atas sokongan berterusan terhadap pembangunan hoki negara.
“Alhamdulillah, tahun ini saya difahamkan kontrak ini untuk lima tahun dengan jumlah keseluruhan RM25 juta dan TNB memahami kita perlukan dana.
“Kita harap dana ini akan digunakan dengan sebaik mungkin, supaya dapat meningkatkan lagi prestasi sukan hoki dan menghadirkan lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” katanya.