Piala Dunia FIFA 2026: Stadium BMO Field lepasi ujian persediaan

Stadium BMO Field akan menganjurkan sebanyak enam perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 / REUTERS

TORONTO, 12 MeiStadium BMO Field di Toronto, Kanada berjaya melepasi ‘ujian persediaan’ menjelang Piala Dunia FIFA 2026 yang akan bermula dalam tempoh sebulan lagi, selepas ribuan peminat membanjiri stadium bagi menyaksikan aksi Lionel Messi bersama Inter Miami pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Toronto FC mencatat kehadiran tertinggi di BMO Field dengan 44,828 penonton.
  • Perlawanan digunakan untuk menguji kecekapan operasi stadium, keselamatan, serta pengurusan keluar masuk penonton.
  • Sharon Bollenbach puas hati dan berkata banyak pengajaran diperoleh untuk penambahbaikan akhir.
  • Stadium menjalani penambahbaikan AS$158 juta dan menambah 17,000 tempat duduk sementara bagi memenuhi piawaian FIFA.

Kelab Major League Soccer (MLS), Toronto FC mencatatkan kehadiran penonton tertinggi dalam sejarah kelab di BMO Field dalam perlawanan yang menyaksikan pasukan pelawat, Inter Miami menang dengan keputusan 4-2.

Kehadiran pemenang Ballon d’Or lapan kali, Lionel Messi berjaya menarik seramai 44,828 penonton.

Jumlah itu memberi peluang kepada pihak berkuasa Toronto untuk menguji kecekapan operasi stadium sebelum venue tersebut mengendalikan enam perlawanan Piala Dunia nanti.

Pengarah Eksekutif Piala Dunia FIFA 2026 bagi Bandar Raya Toronto, Sharon Bollenbach, melahirkan rasa lega dan puas hati dengan kesediaan stadium yang siap mengikut jadual yang ditetapkan.

“Projek modal yang besar seperti ini memerlukan usaha dan penelitian yang mendalam. Melihat penyokong memenuhi tempat duduk baharu serta menggunakan kemudahan yang disediakan adalah sesuatu yang amat membanggakan.

“Meskipun tidak semua elemen akan sama seperti hari kejohanan sebenar, kami memperoleh banyak pengajaran. Pasukan keselamatan, operasi stadium serta aspek keluar-masuk penonton sentiasa dipantau rapi sepanjang perlawanan berlangsung,” katanya.

Bollenbach menambah bahawa data dan pergerakan penonton yang direkodkan adalah sangat penting bagi pihak penganjur untuk melakukan penambahbaikan akhir.

“Kami telah mengenal pasti beberapa aspek yang perlu diperhalusi dan diubah suai bagi memastikan pengalaman peminat adalah lebih positif, cekap dan berkesan,” jelasnya lagi.

Foto REUTERS

Aksi tersebut merupakan penampilan terakhir Toronto FC di BMO Field sebelum bermulanya kejohanan dunia pada 11 Jun ini.

Stadium tersebut sebelum ini menjalani proses penambahbaikan bernilai AS$158 juta (kira-kira RM746 juta) yang melibatkan penambahan 17,000 tempat duduk sementara bagi memenuhi piawaian kapasiti FIFA.

Kanada dijadualkan membuka kempen Piala Dunia mereka menentang Bosnia di Stadium BMO Field pada 12 Jun ini, dalam saingan Kumpulan B yang turut dibarisi Qatar dan Switzerland. – REUTERS