
BARCELONA, 12 Mei – Kelab gergasi bola sepak Sepanyol, FC Barcelona meraikan kejayaan menjulang kejuaraan La Liga dengan perarakan bas terbuka di sekitar bandar raya ini pada Isnin dalam suasana gilang-gemilang yang dihadiri ribuan penyokong setia.
- Barca sahkan kejuaraan La Liga selepas kemenangan 2-0 dalam El Clasico menentang Real Madrid.
- Marcus Rashford dan Ferran Torres menjaringkan gol, membantu Barca mencapai 91 mata dan kelebihan tidak terkejar.
- Penyokong berkongsi kegembiraan; Emre Ali terharu menang El Clasico, pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
- Trofi Piala Super Sepanyol dipamerkan, melengkapkan musim gemilang kelab Catalan.
Skuad kendalian Hansi Flick itu mengesahkan gelaran liga ke-29 mereka awal pagi semalam selepas mencatatkan kemenangan 2-0 di laman sendiri dalam aksi El Clasico menentang Real Madrid.
Dua gol hasil jaringan pemain pinjaman, Marcus Rashford serta Ferran Torres, memastikan Barca mengumpul 91 mata yang tidak lagi boleh dicabar, sekali gus meletakkan mereka 14 mata di hadapan Real dengan baki tiga perlawanan.
Suasana di sekitar bandar raya bertukar menjadi ‘lautan biru dan merah’ apabila para penyokong memenuhi jalanan, malah ada yang mengambil kesempatan bermain bola sepak di kawasan jalan raya yang ditutup kepada lalu lintas bagi memeriahkan sambutan.

Bagi seorang pelajar warga Romania yang juga peminat tegar Barcelona, Emre Ali, 25, memenangi kejuaraan di hadapan musuh ketat adalah satu kepuasan yang sukar digambarkan.
“Saya penyokong fanatik dan mengikuti setiap perlawanan, namun detik paling bermakna adalah apabila kita menang aksi El Clasico menentang Real Madrid. Memastikan kejuaraan liga di laman sendiri menentang mereka adalah satu pengalaman luar biasa yang tidak akan dapat dilupakan,” katanya.
Nada kegembiraan yang sama turut dikongsi oleh Noa Lopez, 20, yang hadir bersama ribuan peminat lain untuk melihat wira-wira pasukannya dari dekat.
“Saya berada di sini untuk melihat pemain kegemaran saya meraikan gelaran juara. Saya telah menjadi penyokong Barca sejak kecil lagi kerana keluarga saya adalah peminat setia pasukan ini. Ia adalah satu tradisi yang perlu diteruskan,” ujar Lopez.
Perarakan yang bermula dari Stadium Camp Nou itu turut mempamerkan trofi Piala Super Sepanyol yang dimenangi pada Januari lalu, melengkapkan musim gemilang buat kelab Catalan tersebut. – REUTERS