Tenis Terbuka Itali: Gauff, Swiatek dan Rybakina melangkah ke suku akhir

Coco Gauff meraikan kemenangan ke atas rakan senegara dari AS, Iva Jovic  / AFP

ROME, 12 Mei – Kejuaraan tenis WTA Terbuka Itali terus menyaksikan penguasaan pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia apabila bintang meningkat naik dari Amerika Syarikat (AS), Coco Gauff bersama pemain nombor satu dunia, Iga Swiatek dan Elena Rybakina mengesahkan slot ke peringkat suku akhir di Kompleks Sukan Foro Italico.

RINGKASAN BERITA AI
  • Coco Gauff bangkit dari kekalahan awal, menang 5-7, 7-5, 6-2 selepas berdepan perlawanan tiga set dramatik menentang Iva Jovic.
  • Iga Swiatek mempamerkan dominasi di gelanggang tanah liat, menewaskan Naomi Osaka 6-2, 6-1 dengan permainan pantas dan mengawal perlawanan.
  • Elena Rybakina tunjuk kelas tersendiri, menewaskan Karolina Pliskova 6-0, 6-2 dengan servis kencang dan pukulan efektif.

Pemain pilihan ketiga, Gauff, bagaimanapun terpaksa bekerja keras dalam pertarungan tiga set yang penuh dramatik menentang rakan senegaranya, Iva Jovic yang juga pemain remaja.

Gauff yang bermula hambar di set pertama, mempamerkan daya tahan mental yang tinggi untuk bangkit daripada ambang kekalahan sebelum menutup perlawanan dengan keputusan 5-7, 7-5, 6-2.

Kemenangan itu membuktikan kematangan Gauff dalam mengawal tekanan ketika berdepan lawan yang agresif.

Iga Swiatek membalas pukulan Naomi Osaka pada pertemuan di Kompleks Sukan Foro Italico / AFP

Dalam satu lagi aksi tumpuan, Iga Swiatek terus mengukuhkan statusnya sebagai “Ratu Gelanggang Tanah Liat” apabila menundukkan bekas pemain nombor satu dunia dan juara Grand Slam empat kali, Naomi Osaka.

Swiatek hanya memerlukan masa yang singkat untuk mencatatkan kemenangan 6-2, 6-1.

Bintang Poland itu mempamerkan corak permainan dominan, sekali gus menyekat peluang Osaka untuk mencari rentak permainan.

Elena Rybakina lakar kemenangan mudah ke atas pemain Republic Czech, Karolina Pliskova untuk layak ke suku akhir / AFP

Sementara itu, Elena Rybakina turut berada dalam kelas tersendiri apabila melangkah ke kelompok lapan terbaik.

Pemain kelahiran Kazakhstan itu tidak memberi ruang kepada lawannya, Karolina Pliskova dari Republic Czech dengan servis kencang dan pukulan-pukulan yang efektif.

Rybakina menamatkan cabaran Pliskova dengan kemenangan mutlak straight sets 6-0, 6-2. – REUTERS