
GEORGE TOWN, 12 Mei – Pulau Pinang sedia meneruskan penganjuran festival muzik berskala besar termasuk acara berkonsepkan ‘rave’ bagi merancakkan sektor ekonomi kreatif dan pelancongan negeri itu.
- Kerajaan negeri menegaskan setiap penganjuran festival perlu mengambil kira kesesuaian lokasi, penganjur dan sensitiviti masyarakat setempat.
- Elemen hiburan seperti festival Rift Music pernah diperkenalkan semasa Penang Bridge Marathon dan menerima sambutan positif.
- Pelbagai tarikan baharu dibangunkan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, contohnya Galeri Arkeologi Guar Kepah dan aktiviti penginapan Bukit Bendera.
Bagaimanapun, kerajaan negeri menegaskan, setiap penganjuran perlu mengambil kira kesesuaian lokasi, penganjur serta sensitiviti masyarakat setempat.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, elemen hiburan seperti itu sebenarnya pernah diperkenalkan menerusi program khas sempena Penang Bridge International Marathon di Batu Kawan tahun lalu dan mendapat sambutan positif.
“Festival Rift Music ketika itu diadakan pada waktu malam khusus untuk peserta larian dan menerima sambutan menggalakkan.
“Kerajaan negeri tidak menolak lebih banyak festival muzik dianjurkan di Pulau Pinang pada masa depan, namun ia perlu dilaksanakan dengan bajet, lokasi dan pengurusan yang bersesuaian supaya aspek kawalan serta norma masyarakat terus dipelihara,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pelbagai tarikan baharu turut dibangunkan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu.
Antaranya, Galeri Arkeologi Guar Kepah, aktiviti penginapan di Bukit Bendera dan pembangunan Penang Waterfront Convention Centre, Ferringhi Bay serta Galeri Automotif Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang.