
DHAKA, 6 Julai – Sekurang-kurangnya lapan pelarian Rohingya, termasuk kanak-kanak, maut manakala beberapa lagi cedera selepas hujan lebat mencetuskan beberapa kejadian tanah runtuh di kem pelarian di Cox’s Bazar, tenggara Bangladesh, awal pagi Isnin.
- Tanah runtuh berlaku di empat lokasi, menimbus pondok penduduk ketika mereka sedang tidur.
- Pihak berkuasa memindahkan penduduk dari kawasan berisiko tinggi bagi mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa.
- Lebih 1.2 juta pelarian Rohingya menetap di kem sesak, ramai tinggal pondok sementara di lereng bukit terdedah risiko.
- Jabatan Meteorologi meramalkan hujan lebat berterusan, pihak berkuasa bersiap siaga hadapi kemungkinan tanah runtuh dan banjir kilat.
Kejadian itu berlaku di empat lokasi berasingan apabila tanah runtuh menimbus pondok yang didiami pelarian ketika mereka sedang tidur.
Polis turut memaklumkan seorang rakyat Bangladesh terbunuh manakala dua ahli keluarganya cedera selepas lereng bukit runtuh menghempap rumah mereka di Cox’s Bazar.
Pegawai polis Cox’s Bazar, Tumpa Das berkata, lapan kematian setakat ini disahkan berpunca daripada tanah runtuh yang dicetuskan hujan lebat.
Sementara itu, Pesuruhjaya Bantuan dan Penghantaran Pulang Pelarian Bangladesh, Mohammed Mizanur Rahman berkata, pihak berkuasa sedang memindahkan penduduk dari kawasan berisiko tinggi secepat mungkin bagi mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa berikutan hujan yang masih berterusan.
Lebih 1.2 juta pelarian Rohingya kini menetap di kem-kem yang sesak di Cox’s Bazar, penempatan pelarian terbesar di dunia, selepas melarikan diri daripada operasi ketenteraan di Myanmar pada 2017.
Kebanyakan mereka tinggal di pondok sementara yang diperbuat daripada buluh dan kepingan plastik di lereng bukit, sekali gus terdedah kepada risiko tanah runtuh setiap kali musim monsun.
Insiden itu berlaku ketika pertempuran di Negeri Rakhine, Myanmar, kembali memuncak sehingga mencetuskan kebimbangan berlaku kemasukan baharu pelarian Rohingya ke Bangladesh.
Jabatan Meteorologi Bangladesh meramalkan hujan lebat akan berterusan dalam beberapa hari akan datang, menyebabkan pihak berkuasa terus bersiap siaga menghadapi kemungkinan lebih banyak kejadian tanah runtuh dan banjir kilat. – REUTERS