
TEHRAN, 13 Mei – Perunding utama Iran pada Selasa menegaskan bahawa Washington harus menerima pelan damai terbaharu Tehran atau berdepan kegagalan.
- Perang meletus lebih dua bulan lalu, merebak ke seluruh Asia Barat dan menjejaskan ekonomi global walaupun terdapat gencatan senjata.
- Perang memberi impak kepada ratusan juta penduduk dunia dan kosnya meningkat, Pentagon anggar hampir AS$29 bilion.
- Iran menuntut penamatan perang termasuk di Lubnan, hentikan sekatan maritim AS terhadap pelabuhan Iran dan pulihkan aset beku.
- Iran hadkan lalu lintas Selat Hormuz dan kenakan tol kapal, mencetuskan krisis tenaga global digelar kejutan bekalan terbesar oleh Aramco.
Amaran itu dikeluarkan selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memberi amaran bahawa gencatan senjata pada perang Asia Barat itu kini berada di ambang keruntuhan.
Perang yang meletus lebih dua bulan lalu susulan serangan AS-Israel ke atas Iran telah merebak ke seluruh Asia Barat dan menjejaskan ekonomi global meskipun terdapat gencatan senjata.
Serangan berkenaan turut memberi impak kepada ratusan juta penduduk dunia.
Kedua-dua pihak setakat ini enggan bertolak ansur dan berulang kali mengancam untuk menyambung semula pertempuran, namun masing-masing dilihat tidak mahu kembali kepada peperangan berskala penuh.
“Tiada alternatif lain selain menerima hak rakyat Iran seperti yang digariskan dalam cadangan 14 perkara tersebut. Sebarang pendekatan lain tidak akan membuahkan hasil; hanya kegagalan demi kegagalan,” kata Mohammad Bagher Ghalibaf menerusi hantaran di X.
Beliau turut menambah bahawa semakin lama AS melengahkan keputusan, semakin besar kos yang perlu ditanggung oleh pembayar cukai negara itu.
Menurut Pentagon, kos peperangan itu kini melonjak kepada hampir AS$29 bilion iaitu kira-kira AS$4 bilion lebih tinggi berbanding anggaran dua minggu lalu.
Kementerian Luar Iran menyatakan pihaknya turut menuntut penamatan perang termasuk di Lubnan, selain menghentikan sekatan maritim AS terhadap pelabuhan Iran serta mendapatkan semula aset Iran yang dibekukan di luar negara.
Bagaimanapun, Trump menyelar maklum balas Tehran sebagai “Tidak boleh diterima sama sekali” dan menyatakan AS akan mencapai “kemenangan mutlak” ke atas Iran selain mendakwa gencatan senjata tersebut kini di hari-hari terakhirnya.
Di Tehran, media tempatan melaporkan Pengawal Revolusi Iran telah menjalankan latihan ketenteraan bagi menghadapi sebarang pergerakan daripada “musuh Amerika-Zionis”.
Jurucakap Kementerian Pertahanan, Reza Talaei-Nik, turut memberi amaran jika AS menolak jalan diplomasi, mereka harus menjangkakan kekalahan sekali lagi di medan perang.
Sementara itu, krisis di Selat Hormuz terus meruncing apabila Iran mengehadkan lalu lintas maritim dan mewujudkan mekanisme pembayaran tol bagi kapal yang melintas, mencetuskan krisis tenaga global yang disifatkan oleh gergasi minyak Saudi Aramco sebagai kejutan bekalan tenaga terbesar di dunia.
Laporan perisikan AS yang didedahkan oleh New York Times menunjukkan Iran masih memiliki keupayaan peluru berpandu yang besar dengan 70 peratus pelancar mudah alihnya masih berfungsi serta berjaya memulihkan akses kepada 30 daripada 33 tapak peluru berpandu di sepanjang selat tersebut.
Dalam pada itu, serangan maut Israel dilaporkan berterusan di wilayah selatan Lubnan pada Selasa, mengorbankan 13 orang termasuk seorang tentera, seorang kanak-kanak dan dua petugas penyelamat, meskipun perjanjian gencatan senjata telah dicapai pada 17 April lalu.
Menteri Kesihatan Lubnan memaklumkan lebih 2,880 orang terkorban sejak negara itu terheret ke dalam kancah peperangan pada 2 Mac, termasuk 380 mangsa yang terbunuh sejak gencatan senjata bermula. – AFP