Hapus kesan kolonial, Nauru bakal dikenali sebagai Naoero

Seorang nelayan sedang menangkap ikan di sebuah kepulauan kecil Nauru /REUTERS

YAREN, 13 Mei -Negara kepulauan Pasifik, Nauru, mengumumkan bakal mengadakan satu referendum bagi menukar nama rasmi negara itu yang disifatkan sebagai kesan peninggalan kolonial yang tidak melambangkan bahasa asli rakyat negara berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Negara akan menukar nama rasmi kepada "Naoero" untuk menghargai warisan, bahasa dan identiti rakyat.
  • Bahasa asli "Dorerin Naoero" ditutur oleh sebahagian besar penduduk negara.
  • Penjenamaan semula menyeluruh meliputi pesawat, kapal, identiti antarabangsa termasuk rekod rasmi dan simbol negara.

Presiden David Adeang dalam satu kenyataan berkata, Nauru akan menukar namanya kepada “Naoero” bagi menghargai warisan, bahasa, dan identiti negara itu dengan lebih bermakna.

Bahasa asli negara kecil itu dikenali sebagai “Dorerin Naoero”, yang dituturkan oleh sebahagian besar daripada kira-kira 10,000 penduduknya.

“Nama Nauru muncul kerana perkataan Naoero tidak dapat disebut dengan betul oleh lidah warga asing.

“Ia ditukar bukan atas pilihan kita, tetapi untuk kemudahan pihak lain,” menurut kenyataan kerajaan bagi menjelaskan rasional pertukaran tersebut.

Tambah kenyataan itu, pertukaran nama berkenaan akan dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara, merangkumi penjenamaan semula pesawat dan kapal nasional, identiti rasmi di peringkat serantau dan antarabangsa termasuk di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), serta dalam semua rekod dan simbol rasmi negara.

Kerajaan perlu mengadakan referendum memandangkan langkah menukar nama negara itu memerlukan pindaan terhadap perlembagaan.

Sejarah menunjukkan Jerman pernah menuntut Nauru sebagai naungannya dari akhir 1880-an sehingga Perang Dunia Pertama, sebelum pulau itu ditawan oleh tentera Australia.

Pulau berkenaan kemudian ditadbir secara bersama oleh Australia, United Kingdom, dan New Zealand sebelum mencapai kemerdekaan pada tahun 1968.

Nauru merupakan antara negara terkecil di dunia dengan keluasan tanah besar hanya 20 kilometer persegi.

Meskipun pernah menjadi negara terkaya di dunia bagi setiap kapita hasil deposit fosfat yang tulen.

Namun kini galian berkenaan habis dan kering.

Penyelidik menganggarkan 80 peratus daripada kawasan Nauru kini tidak lagi boleh didiami akibat aktiviti perlombongan.

Menurut penilaian terbaru Bank Dunia, negara itu juga amat terdedah kepada kesan perubahan iklim selain berdepan kadar pengangguran serta isu kesihatan yang tinggi. – AFP