
PATI, 13 Mei – Aktiviti perikanan di Pelabuhan Juwana, dilaporkan hampir lumpuh selepas lebih 1,200 buah kapal gagal beroperasi berikutan kenaikan mendadak kos bahan api sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
- Harga diesel naik tiga kali ganda kepada 30,000 rupiah seliter, menyebabkan kos operasi nelayan melonjak dan menjejaskan kelangsungan perniagaan.
- Bil kapal yang beroperasi merosot teruk, hanya 79 pada Mac dan 425 pada April, menggambarkan impak besar terhadap aktiviti perikanan.
- Nelayan dan kru terperangkap antara berhenti atau meneruskan operasi; mereka memohon campur tangan kerajaan untuk dasar baharu segera.
Krisis bahan api itu menyaksikan harga diesel melonjak sehingga tiga kali ganda daripada sekitar 14,000 rupiah kepada 30,000 rupiah (AS$1.70) seliter ketika ini.
Ketua Persatuan Nelayan Pati, Eko Budiono berkata, impak kenaikan kos tersebut amat ketara apabila hanya 79 kapal di Juwana yang beroperasi pada Mac.
Manakala 425 buah pada April.Situasi itu mencetuskan kebimbangan mengenai bekalan hasil laut eksport seperti kembung dan tuna yang biasanya dibawa pulang dari perairan timur Indonesia dan Papua untuk pasaran Thailand, China serta Jepun.
Seorang pemilik kapal, Akhiq Falih Al Arif memberitahu Reuters bahawa pengusaha kini berada dalam keadaan tersepit untuk meneruskan operasi atau menanggung kerugian yang lebih besar.
“Jika kami berhenti, kami mati. Jika kami teruskan, kami juga mati. Sekarang kami buntu, namun tetap berjuang dan berharap agar kerajaan, terutamanya Presiden Prabowo, akan memperkenalkan dasar baharu supaya nelayan dapat kembali ke laut seperti biasa,” katanya.
Bagi kru kapal seperti Suroso, 42, ketiadaan operasi di laut bermakna mereka kehilangan satu-satunya punca pendapatan kerana ketiadaan kemahiran lain untuk bekerja di darat.
Di sebalik kesibukan pekerja memunggah bakul-bakul ikan sejuk beku dari kapal yang baru pulang, masa depan Pelabuhan Juwana kini bergantung sepenuhnya kepada intervensi kerajaan bagi menangani krisis tenaga yang sedang melanda. – REUTERS