
BEIJING, 14 Mei – Presiden China Xi Jinping memberi amaran kepada Donald Trump bahawa ‘salah langkah’ ke atas Taiwan boleh mendorong kedua-dua negara terjerumus ke dalam konflik.
- Isu Taiwan dianggap paling penting dalam hubungan China-AS dan berisiko mencetuskan konflik jika disalah urus.
- Kedua-dua pihak digesa menjadi rakan kongsi bukan saingan, menekankan perlunya kerjasama dan dialog.
- Lawatan presiden AS ke Beijing kali pertama hampir sedekad, disambut besar walaupun wujud ketegangan geopolitik.
Amaran itu dikeluarkan Jinping walaupun pertemuan kedua-dua pemimpin di Beijing pada Khamis berlangsung positif di samping Trump menjangkakan bahawa negara mereka akan mempunyai “masa depan yang hebat bersama”.
Jinping berkata kedua-dua pihak sepatutnya menjadi rakan kongsi dan bukan saingan, sambil mengetengahkan isu Taiwan yang didakwa Beijing sebagai wilayahnya secara langsung.
“Persoalan Taiwan adalah isu paling penting dalam hubungan China-AS,” kata Jinping menurut kenyataan yang diterbitkan oleh media China sejurus selepas perbincangan bermula.
“Jika disalah urus, kedua-dua negara boleh mencetuskan konflik, mendorong keseluruhan hubungan China-AS ke dalam situasi yang sangat bahaya,” tambahnya pada rundingan pembukaan yang berlangsung sekitar dua jam 15 minit.
Lawatan Trump ke Beijing adalah yang pertama oleh seorang presiden AS dalam hampir sedekad, dengan sambutan besar-besaran walaupun wujud ketegangan geopolitik antara kedua-dua negara.- AFP