Iran, AS dijangka memeterai perjanjian damai seawal hujung minggu ini

Foto REUTERS

WASHINGTON, 12 Jun – Amerika Syarikat (AS) dan Iran dilaporkan bakal menandatangani memorandum bagi menamatkan konflik ketenteraan di wilayah Teluk seawal Ahad ini dengan Geneva kini muncul sebagai lokasi paling berpotensi bagi majlis berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Draf perjanjian mengandungi pengecualian sekatan minyak, pencairan dana berbilion, pengunduran tentera bersekutu dan tuntutan pembinaan semula AS$300 bilion.
  • Trump membatalkan serangan udara baru; beliau berkata penyelesaian sudah hampir dimuktamadkan dan Selat Hormuz akan dibuka semula selepas perjanjian.
  • Ketegangan berterusan; tentera AS menembak jatuh dua dron Iran, dan Iran melaporkan letupan selepas menyekat sebuah kapal tangki.

Sumber barat mendedahkan kepada Reuters bahawa draf akhir perjanjian itu sedang dimuktamadkan, dengan perbincangan tertumpu kepada syarat Iran yang mendesak agar penamatan permusuhan turut merangkumi operasi ketenteraan Israel terhadap kumpulan pejuang Hizbullah di Lubnan.

Majlis menandatangani perjanjian bersejarah itu dijangka dihadiri oleh Naib Presiden AS, JD Vance, dan Speaker Parlimen Iran, Mohammed Baqer Qalibaf, sekali gus menamatkan ketegangan geopolitik yang telah mencetuskan impak besar kepada pasaran ekonomi dan rantaian tenaga global.

Perkembangan positif itu menyusul selepas Presiden AS Donald Trump mengumumkan pembatalan siri serangan udara baharu ke atas Iran, dengan menyatakan bahawa dokumen penyelesaian bagi menamatkan perang berkenaan kini sudah sedia untuk dimuktamadkan.

“Kami baru sahaja mencapai satu penyelesaian yang hebat bagi menamatkan peperangan dengan Iran,” kata Trump kepada wartawan di White House, sambil menambah bahawa Selat Hormuz akan dibuka semula secara rasmi sejurus selepas perjanjian ditandatangani.

Berdasarkan draf perjanjian yang didedahkan sumber kanan Iran, syarat-syarat utama komprehensif merangkumi pengecualian sekatan minyak ke atas Tehran, pencairan dana berbilion dolar yang dibekukan, serta pengunduran tentera bersekutu dari sekitar wilayah Iran selain tuntutan dana pembinaan semula ekonomi sebanyak AS$300 bilion.

Meskipun pasaran saham global menyambut baik berita berkenaan dengan menyaksikan kejatuhan harga minyak mentah penanda aras Brent melebihi dua peratus hari ini, ketegangan dilaporkan masih tinggi di laluan maritim berkenaan.

Pihak tentera AS dilaporkan menembak jatuh dua dron milik Iran yang cuba menyerang kapal dagang.

Manakala media rasmi Iran melaporkan bunyi letupan kedengaran selepas tentera republik itu menyekat sebuah kapal tangki daripada merentasi laluan strategik itu awal pagi tadi.

Dalam pada itu, perkembangan rundingan damai tersebut menerima reaksi dingin daripada sekutu kuat Amerika Syarikat, Israel selepas pejabat Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu, mengeluarkan kenyataan menegaskan bahawa Tel Aviv tidak terlibat dengan memorandum persefahaman dengan Iran. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.