
PYONGYANG, 12 Jun -Presiden Korea Utara, Kim Jong Un mengutus perutusan tahniah kepada Presiden Rusia Vladimir Putin sempena Hari Kebangsaan Rusia hari ini.
- Jong Un berikrar memberi sokongan penuh terhadap dasar domestik dan luar negara Moscow.
- KCNA melaporkan hubungan Pyongyang dan Rusia diperkukuh sebagai pakatan rasmi berdasarkan perkongsian strategik komprehensif.
- Pyongyang mengerahkan ribuan tentera untuk menyokong operasi ketenteraan Rusia di Ukraine.
- Perjanjian turut merangkumi pembukaan jambatan darat utama untuk menghubungkan sempadan dan memudahkan rangkaian logistik.
Jong Un turut berikrar untuk memberi sokongan penuh terhadap dasar domestik dan luar negara Moscow.
Agensi berita rasmi Korea Utara (KCNA) melaporkan, Jong Un menegaskan hubungan antara Pyongyang dan Rusia kini semakin diperkukuh menjadi sebuah pakatan rasmi bersandarkan perjanjian perkongsian strategik komprehensif, selain memberi komitmen untuk “sentiasa bersama” negara sekutunya itu.
Perutusan berkenaan dibuat ketika hubungan ketenteraan dan diplomatik antara kedua-dua negara membuka lembaran baharu, susulan langkah Pyongyang mengerahkan ribuan tenteranya bagi menyokong operasi ketenteraan Rusia di Ukraine.
Menurut laporan televisyen rasmi kerajaan, keakraban hubungan kedua-dua negara turut dizahirkan menerusi upacara penghormatan rasmi bersempena hari kebesaran berkenaan.
Barisan pegawai kanan Rusia dan Korea Utara dilaporkan mengadakan lawatan ke Menara Pembebasan dan Tanah Perkuburan Tentera Soviet bagi memperingati tentera Rusia yang terkorban.
Selain itu, Kedutaan Rusia turut menganjurkan majlis resepsi khas bagi meraikan delegasi tertinggi Pyongyang.
Hubungan dua hala antara kedua-dua negara dilaporkan berkembang pesat selepas termeterainya perjanjian perkongsian strategik ketika kunjungan rasmi Putin ke Pyongyang pada Jun 2024.
Selain komitmen keselamatan, dokumen perjanjian bersejarah itu turut menyaksikan persetujuan kedua-dua buah negara untuk membuka sebuah jambatan darat utama bagi menghubungkan sempadan kedua-dua negara selain memudahkan rangkaian logistik antara Rusia dan Korea Utara. – REUTERS