Penutupan Selat Hormuz lumpuhkan sektor pembinaan Sudan

Foto REUTERS

KHARTOUM, 12 Jun – Pasaran bahan binaan dan kelengkapan elektrik utama Sudan, Pasar Al-Sajana, berdepan krisis akibat gelombang inflasi dan gangguan rantaian bekalan luar negara yang dicetuskan oleh konflik ketenteraan di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penutupan Selat Hormuz menyekat aliran import, menyebabkan ketiadaan barangan dan tempoh penghantaran lebih lama.
  • Harga bahan binaan dan peralatan elektrik meningkat hampir dua kali ganda, membebankan usaha pembinaan semula.
  • Kos pengangkutan tinggi dan kelewatan import menaikkan kos operasi peniaga serta mengecilkan bekalan pasaran.
  • Kuasa beli penduduk jatuh, mengurangkan urus niaga walaupun aktiviti perniagaan nampak berjalan.

Meskipun menjadi antara pasaran terawal yang kembali beroperasi di ibu negara selepas perang saudara , aktiviti perdagangan di pasaran itu kini mengalami masalah serius berikutan sekatan laluan maritim antarabangsa yang menjejaskan kemasukan barangan import, khususnya dari China.

Para pedagang tempatan mendedahkan harga bagi kebanyakan barangan keperluan binaan telah melonjak hampir dua kali ganda, sekali gus merencatkan usaha pemulihan serta pembinaan semula prasarana dan kediaman penduduk yang musnah di negara Afrika utara itu.

Menurut seorang pengimport alat kelengkapan elektrik tempatan, Abdullah Malah, isu terbesar yang dihadapi komuniti peniaga ketika ini adalah penutupan Selat Hormuz yang menyekat aliran biasa kemasukan barangan dagangan.

“Banyak barangan tidak lagi tersedia di pasaran, dan sekiranya ada, harganya terlalu mahal kerana proses mengimport kini mengambil masa yang jauh lebih lama dengan kos pengangkutan yang sangat tinggi,” katanya.

Impak kenaikan harga bahan mentah seperti besi, keluli, jentera, kenderaan, dan peralatan elektrik keluaran China itu turut memberi kesan langsung kepada kuasa beli rakyat tempatan yang sebahagian besarnya telah kehilangan sumber pendapatan akibat perang.

Tinjauan di pusat komersial berkenaan mendapati, walaupun aktiviti perniagaan kelihatan berjalan seperti biasa, urus niaga sebenar merosot berikutan ketidakmampuan pengguna untuk membeli barangan keperluan tersebut.

Seorang penduduk tempatan, Baha al-Din al-Tahir, menyifatkan harga pasaran ketika ini berada pada tahap melampau.

Manakala seorang lagi warga Khartoum, Mohamed Bakhit, mengesahkan kadar peningkatan bagi setiap barangan binaan kini direkodkan hampir sekali ganda berbanding harga asal.

Berdasarkan data rasmi, sektor hartanah dan pembinaan Sudan merupakan pasaran yang paling terjejas teruk ketika hubungan perdagangan dua hala antara Sudan dan China dilaporkan telah mencecah nilai keseluruhan sebanyak AS$1.39 bilion dolar sebelum ini. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.