EU ikrar pertahan hak, enggan tunduk ugutan tarif Trump

Foto REUTERS

BRUSSELS, 28 Jun – Kesatuan Eropah (EU) berikrar akan mempertahankan haknya dengan tegas susulan ancaman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk mengenakan tarif tindak balas terhadap negara Eropah yang melaksanakan cukai perkhidmatan digital ke atas syarikat teknologi AS.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suruhanjaya EU menegaskan negara anggota berkuasa mengawal selia aktiviti ekonomi dalam bidang kuasa mereka.
  • Trump mengancam tarif 100 peratus, membatalkan perjanjian perdagangan dan berkuat kuasa serta-merta terhadap negara yang kenakan cukai digital.
  • Beberapa negara Eropah sokong cukai perkhidmatan digital; Presiden Perancis Macron menolak ancaman AS dan tidak akan tunduk.

Kenyataan jurucakap Suruhanjaya EU menegaskan bahawa blok itu dan negara anggotanya mempunyai kuasa sepenuhnya untuk mengawal selia aktiviti ekonomi di dalam bidang kuasa mereka.

“Sebarang langkah unilateral yang menyasarkan dasar sah EU akan berdepan tindak balas pantas dan tegas bagi melindungi hak serta autonomi kawal selia blok berkenaan,” tegasnya.

Pada Jumaat, Trump memuat naik hantaran di media sosial dengan mengisytiharkan bahawa mana-mana negara Eropah yang mengenakan cukai perkhidmatan digital ke atas firma AS akan serta-merta dikenakan tarif 100 peratus bagi kesemua eksport mereka ke AS.

“Tarif berkenaan akan membatalkan perjanjian perdagangan sedia ada sama ada yang telah dilaksanakan, ditandatangani atau belum serta akan berkuat kuasa tanpa penangguhan sekiranya negara terbabit meneruskan pelan cukai mereka,” ujar Trump.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa negara Eropah menggesa agar cukai dikenakan ke atas hasil tempatan syarikat gergasi teknologi AS seperti Google, Amazon dan Apple; tindakan yang mendapat tentangan hebat daripada Washington.

Trump juga sebelum ini berulang kali mengancam akan mengenakan tarif tindak balas terhadap Perancis dan Britain berhubung isu sama.

Bagaimanapun, Presiden Perancis Emmanuel Macron secara terbuka menolak tekanan tersebut dan menegaskan Perancis tidak akan tunduk kepada ancaman AS demi mempertahankan pelaksanaan cukai berkenaan.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.