
TOKYO, 12 Julai – Jepun, Filipina, Amerika Syarikat dan 11 lagi negara menegaskan bahawa tuntutan maritim China di Laut China Selatan tidak mempunyai asas undang-undang.
- Kenyataan bersama menegaskan keputusan tribunal timbang tara adalah mercu tanda, muktamad dan terikat dari segi undang-undang.
- Mahkamah Timbang Tara Tetap 2016 memutuskan tuntutan menyeluruh China terhadap sebahagian besar Laut China Selatan tidak berasas.
- Beijing menolak keputusan itu, menyifatkannya "sekeping kertas yang tidak bernilai" serta menegaskan tuntutan kedaulatan dan maritimnya.
- Konfrontasi berterusan di perairan, dengan tuduhan gerakan berbahaya dan China menuduh kehadiran tentera kuasa luar mencetuskan ketegangan.
Pendirian itu dibuat bersempena ulang tahun ke-10 keputusan penting tribunal timbang tara antarabangsa mengenai pertikaian tersebut.
Dalam kenyataan bersama, negara-negara berkenaan mengulangi bahawa keputusan Tribunal Timbang Tara yang dibuat 10 tahun lalu adalah satu mercu tanda penting serta bersifat muktamad dan terikat dari segi undang-undang antara China dengan Filipina.
Filipina memenangi kes itu pada 2016 selepas Mahkamah Timbang Tara Tetap (PCA) memutuskan bahawa tuntutan menyeluruh China terhadap sebahagian besar Laut China Selatan tidak mempunyai asas di bawah undang-undang antarabangsa, namun Beijing terus menolak keputusan tersebut.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Filipina dan China sering terlibat dalam konfrontasi di perairan Laut China Selatan.
Manila menuduh Beijing melakukan gerakan berbahaya dalam zon ekonomi eksklusifnya.
Selain Jepun, Filipina dan Amerika Syarikat, kenyataan bersama itu turut disertai Australia, Britain, Kanada, Estonia, Jerman, Itali, Latvia, Lithuania, New Zealand, Romania dan Slovenia.
Sementara itu, Kementerian Luar China sekali lagi menegaskan tuntutan kedaulatan negara itu di Laut China Selatan sambil menyalahkan peningkatan kehadiran tentera kuasa luar, termasuk Amerika Syarikat, sebagai punca ketegangan di kawasan berkenaan.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu menyifatkan keputusan tribunal tersebut sebagai “sekeping kertas yang tidak bernilai”, tidak sah, terbatal dan tidak mempunyai sebarang kuasa mengikat.
China turut menggesa negara-negara berkaitan supaya menghormati hak wilayah dan maritimnya serta menghentikan tindakan yang didakwa menjejaskan kestabilan serantau. — RUETERS