Dua maut, empat cedera parah dalam insiden tembakan di Toronto

Insiden tembakan di Festival Salsa on St. Clair di Toronto, Kanada

TORONTO, 12 Julai – Dua lelaki maut manakala sekurang-kurangnya empat lagi cedera parah dalam insiden tembakan di Festival Salsa on St. Clair yang dihadiri lebih 13,000 pengunjung di Toronto, Kanada, pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis jumpai dua laras senjata di lokasi; siasatan awal menunjukkan tidak semestinya penembak aktif.
  • Polis tidak menolak kemungkinan lebih dua individu terlibat; tiada tangkapan setakat ini.
  • Perdana Menteri Mark Carney meluahkan terkejut, memberi takziah dan menghargai tindakan pantas polis.
  • Saksi berkata ramai bertempiaran; sesetengahnya menyangka bunyi seperti bunga api sebelum polis menghentikan muzik.

Polis Toronto memaklumkan siasatan awal mendapati berlaku insiden berbalas tembakan antara dua individu, dengan dua laras senjata api ditemukan di lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Polis Toronto, Frank Barredo berkata, kedua-dua lelaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat mangsa lain dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan akibat kecederaan serius.

Pada peringkat awal, polis menyifatkan kejadian itu melibatkan seorang penembak aktif, namun penemuan siasatan setakat ini menunjukkan keadaan sebenar tidak sedemikian.

Menurut Barredo, polis tidak menolak kemungkinan lebih daripada dua individu terbabit dalam kejadian itu, namun sehingga kini tiada tangkapan dilakukan.

Perdana Menteri Kanada, Mark Carney meluahkan rasa terkejut dan sedih terhadap insiden berkenaan.

“Saya amat terkejut dengan insiden tembakan yang mengorbankan dua nyawa di Festival Salsa on St. Clair di Toronto. Doa saya bersama keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang,” katanya menerusi platform X.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota polis dan pasukan penyelamat atas tindakan pantas mereka yang berjaya mengelakkan tragedi lebih buruk.

Datuk Bandar Toronto, Olivia Chow pula menyifatkan kejadian itu sebagai tindakan ganas, lebih-lebih lagi ketika festival berkenaan dihadiri keluarga, kanak-kanak dan warga emas.

Seorang pengunjung festival, Jason Ferda berkata, pada mulanya beliau menyangka bunyi tembakan itu adalah bunga api.

“Saya berasa takut dan terus meninggalkan kawasan itu,” katanya.

Seorang lagi saksi memberitahu media tempatan bahawa orang ramai bertempiaran lari apabila tembakan dilepaskan sebelum polis menghentikan persembahan muzik.

Insiden itu berlaku kurang sebulan selepas satu lagi kejadian tembakan di Montreal yang mengorbankan dua individu, termasuk seorang anggota polis, sebelum penyerang ditembak mati oleh pihak berkuasa.

Pada Februari lalu, lapan orang turut terbunuh dalam kejadian tembakan di sebuah sekolah di bandar perlombongan Tumbler Ridge, wilayah barat Kanada, sebelum suspek bertindak membunuh diri. — AFP