
SAUDARA PENGARANG
- Memperkuat pengiktirafan Sains Citra sebagai bidang ilmu: kerangka, kurikulum, pengelasan, kelayakan, pembiayaan dan laluan kerjaya jelas.
- Lima keutamaan: kerangka nasional, program ijazah gabungan, kerjasama industri, penyelidikan antara disiplin, jaringan ASEAN dan antarabangsa.
- Memperkasa pelaksanaan MPU dengan menghasilkan graduan berilmu, beretika, kreatif, mampu menyumbang dalam komunikasi, dasar, pendidikan dan industri kreatif.
Perkembangan pendidikan tinggi pada abad ke-21 menuntut pendekatan pendidikan yang bukan sahaja melahirkan graduan berkemahiran teknikal dan profesional, tetapi juga individu yang mempunyai pemikiran kritis, kreativiti, keupayaan berkomunikasi, pertimbangan etika dan kefahaman terhadap masyarakat.
Dalam konteks ini, Sains Citra atau Sains Liberal (Liberal Science) mempunyai peranan yang semakin penting.
Bidang ini menyediakan asas pendidikan yang luas merentasi kemanusiaan, sains sosial, seni, bahasa, falsafah dan sains serta teknologi, di samping menghubungkan pengetahuan dengan persoalan manusia, masyarakat dan kehidupan.
Perkataan liberal dalam konteks ini bukan bermaksud liberalisme politik atau kebebasan tanpa batas, tetapi merujuk kepada tradisi pendidikan yang membangunkan keupayaan seseorang untuk berfikir, rasional, kritis dan bertanggungjawab serta bebas memilih kursus atau penumpuan.
Tradisi Sains Liberal berakar daripada pendidikan klasik Yunani dan Rom yang menekankan pembentukan individu merdeka melalui penguasaan ilmu dan penaakulan.
Dalam tradisi Eropah, pendidikan liberal berkembang melalui konsep liberal arts, termasuk tatabahasa, logik, retorik, aritmetik, geometri, muzik dan astronomi.
Perkembangan universiti moden kemudiannya memperluas tradisi tersebut dengan memasukkan bidang sejarah, kesusasteraan, falsafah, sosiologi, sains politik, psikologi dan pelbagai disiplin sains.
Di Amerika Syarikat, pendidikan liberal menjadi asas penting dalam banyak program ijazah sarjana muda, khususnya melalui liberal arts colleges dan pendidikan umum di universiti.
Pelajar bukan sahaja mendalami bidang pengkhususan, tetapi turut mempelajari disiplin lain bagi membina pemikiran yang menyeluruh.
Di Singapura, sains liberal menekankan pendidikan antara disiplin, pemikiran kritis dan pembelajaran rentas bidang dalam usaha menyediakan graduan yang mampu menyesuaikan diri dengan ekonomi berasaskan pengetahuan.
Di Indonesia, tradisi pendidikan umum dapat dilihat melalui mata kuliah wajib universiti seperti Pancasila, Pendidikan Kewarganegaraan, agama dan Bahasa Indonesia, selain perkembangan program yang menggabungkan ilmu kemanusiaan dan sains sosial.
Thailand juga mempunyai pendekatan pendidikan umum yang merangkumi pengetahuan asas, kemahiran insaniah dan tanggungjawab sosial.
Dalam konteks pendidikan tinggi Malaysia, Sains Citra atau Sains Liberal di Malaysia merujuk kepada bidang pengajian multi disiplin yang menekankan pembentukan pemikiran kritis, etika, kemanusiaan, sains asas dan kemahiran insaniah, selari dengan NEC 0031 NEC 0031 Personal Skills (Kemahiran Peribadi).
Sains Citra boleh difahami sebagai pendekatan yang menggabungkan ilmu kemanusiaan, sains sosial, bahasa, seni, budaya, komunikasi dan disiplin berkaitan seperti sains dan teknologi untuk membentuk insan yang berilmu, berfikiran kritis, kreatif serta bertanggungjawab kepada masyarakat.
Di Malaysia, pengukuhan Sains Citra sebagai satu bidang ilmu yang tersendiri wajar diberikan perhatian serius.
Pengiktirafan yang sewajarnya bukan sahaja dapat memperluas pilihan pengajian pelajar, malah membantu membina sistem pendidikan tinggi yang lebih seimbang, dinamik dan relevan dengan keperluan negara.
Keistimewaan Sains Citra terletak pada penekanannya terhadap pembentukan insan secara menyeluruh.
Graduan bukan sahaja memiliki pengetahuan, tetapi juga kebolehan berfikir secara analitis, membuat keputusan beretika, menyampaikan idea, memahami perbezaan budaya dan menyesuaikan diri dengan perubahan.
Malaysia perlu memberikan pengiktirafan yang lebih jelas kepada Sains Citra sebagai satu bidang ilmu dalam landskap pendidikan tinggi negara.
Selama ini, perhatian masyarakat sering tertumpu kepada bidang seperti perubatan, kejuruteraan, teknologi maklumat dan perakaunan yang mempunyai laluan kerjaya yang lebih mudah dikenal pasti.
Pengiktirafan Sains Citra perlu merangkumi kedudukan akademik, pembangunan kurikulum, pengelasan bidang pengajian, pengiktirafan kelayakan, penyelidikan, pembiayaan dan laluan kerjaya graduan.
Universiti, Kementerian Pendidikan Tinggi dan agensi berkaitan perlu bekerjasama membangunkan kerangka yang jelas bagi memastikan bidang ini difahami dan dinilai secara adil.
Pengiktirafan tersebut juga perlu disertai penerangan kepada masyarakat dan majikan tentang kompetensi graduan Sains Citra.
Graduan bidang ini berpotensi menyumbang dalam komunikasi strategik, penyelidikan sosial, pengurusan sumber manusia, pembangunan komuniti, dasar awam, industri kreatif, pendidikan, media dan sektor kebudayaan, bergantung kepada pengkhususan serta pengalaman mereka.
Sains Citra wajar diperkukuh sebagai salah satu pilihan utama dalam pendidikan tinggi Malaysia kerana bidang ini menyediakan alternatif kepada pelajar yang berminat terhadap manusia, masyarakat, budaya, pemikiran dan kreativiti.
Pilihan tersebut perlu ditawarkan dengan struktur program yang jelas, prospek kerjaya yang meyakinkan dan peluang untuk menggabungkan pengajian dengan sains, teknologi, keusahawanan serta latihan industri.
Pada masa yang sama, Sains Citra boleh memperkaya pelaksanaan Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) dengan menyediakan hubungan yang lebih tersusun antara pengetahuan akademik, nilai, kemahiran komunikasi dan tanggungjawab sosial.
Pendekatan ini penting supaya pendidikan tinggi bukan sekadar menghasilkan tenaga kerja, tetapi turut membentuk insan yang mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Hala tuju Sains Citra perlu berasaskan lima keutamaan.
Pertama, membangunkan kerangka nasional yang menerangkan definisi, skop, hasil pembelajaran dan kedudukannya dalam sistem pendidikan tinggi.
Kedua, memperkenalkan serta memperkukuh program ijazah yang menggabungkan asas ilmu dengan pengkhususan seperti komunikasi, muzik, budaya, dasar awam, teknologi digital dan lain-lain termasuk sains.
Ketiga, memperluas kerjasama universiti dengan industri, agensi kerajaan dan organisasi masyarakat bagi menyediakan latihan industri, penyelidikan gunaan dan peluang pekerjaan.
Keempat, membangunkan penyelidikan antara disiplin yang menangani isu kecerdasan buatan, perpaduan nasional, perubahan sosial, kelestarian dan pembangunan manusia.
Kelima, memperkukuh jaringan ASEAN dan antarabangsa bagi membolehkan perkongsian kurikulum, mobiliti pelajar serta pengiktirafan akademik.
Sains Citra atau Sains Liberal bukan bidang sampingan dalam pendidikan tinggi, sebaliknya merupakan komponen penting dalam pembinaan masyarakat berilmu dan negara yang seimbang.
Pengiktirafan bidang ini di Malaysia perlu disertai dasar yang jelas, program akademik berkualiti dan laluan kerjaya yang berdaya maju.
Justeru, memperkasa Sains Citra bermaksud memperkukuh asas kemanusiaan, intelektual dan multi disiplin dalam pendidikan tinggi negara.
Malaysia wajar menjadikan Sains Citra sebagai pilihan akademik yang relevan dan strategik demi melahirkan generasi yang berilmu, beretika, kreatif dan berdaya saing serta holistik.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Prof. Dr. Nazri Muslim
Dekan
Fakulti Pengajian Sains Citra
Universiti Kebangsaan Malaysia
E-mel: dekancitra@ukm.edu.my