Belanjawan 2027: Harapan baharu untuk doktor muda

Gambar hiasan janaan AI/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Belanjawan 2027 menawarkan lebih 9,000 jawatan tetap kepada doktor kontrak, memberikan harapan dan hala tuju kerjaya yang lebih jelas.
  • Pelantikan tetap penting tetapi mesti disertai perancangan pengagihan tenaga, peluang latihan lanjutan dan pembangunan kepakaran untuk keberlangsungan perkhidmatan awam.
  • Pembaharuan berlaku secara berperingkat; pengalaman Hartal dan suara doktor mendorong pembuat dasar mendengar dan menambah baik sistem.

Mereka pernah berdiri di barisan hadapan ketika negara berdepan antara krisis kesihatan terbesar dalam sejarah moden.

Ketika kebanyakan rakyat diminta berada di rumah, doktor-doktor muda ini memasuki wad, merawat pesakit COVID-19, bekerja dalam pakaian perlindungan berjam-jam dan berdepan risiko jangkitan setiap hari.

Namun di sebalik stetoskop dan kot putih, sebahagian mereka sendiri tidak pasti tentang masa depan kerjaya masing-masing. Mereka ialah doktor kontrak.

Pada 26 Julai 2021, keresahan yang sekian lama dipendam akhirnya mendapat perhatian lebih luas apabila doktor kontrak di beberapa hospital menyertai Hartal Doktor Kontrak.

Berpakaian hitam, mereka membawa persoalan tentang jaminan kerjaya, peluang melanjutkan latihan kepakaran dan masa depan mereka dalam sistem kesihatan awam. Lima tahun kemudian, landskap itu mula kelihatan berbeza.

Melalui Belanjawan 2027, kerajaan mengumumkan lebih 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap. Lebih signifikan, doktor yang berjaya menamatkan latihan siswazah selepas ini turut akan ditawarkan pelantikan tetap sebagai pegawai perubatan.

Bagi sebuah isu yang telah berlarutan hampir sedekad, pengumuman ini membawa makna yang lebih besar daripada sekadar pertambahan angka dalam perjawatan awam. Ia membawa harapan.

Hampir Sedekad Sebuah Perjalanan

Untuk memahami kepentingan pengumuman ini, kita perlu kembali ke tahun 2016. Sistem pelantikan kontrak diperkenalkan ketika negara berdepan peningkatan jumlah graduan perubatan yang tidak seiring dengan kekosongan jawatan tetap.

Pendekatan tersebut membolehkan lebih ramai graduan menjalani latihan siswazah dan meneruskan perjalanan untuk menjadi pegawai perubatan.

Namun, apabila generasi demi generasi doktor melalui sistem tersebut, timbul persoalan yang semakin sukar diketepikan. Apa yang berlaku selepas kontrak tamat?

Bagi seorang doktor muda yang telah menghabiskan bertahun-tahun di sekolah perubatan dan menjalani latihan klinikal yang mencabar, ketidakpastian itu bukan perkara kecil.

Ia menentukan sama ada mereka boleh merancang kerjaya, melanjutkan latihan kepakaran dan membina kehidupan dengan lebih terjamin. Kemudian datang pandemik COVID-19.

Dalam tempoh inilah kedudukan doktor kontrak menjadi semakin mendapat perhatian. Mereka bekerja bersama-sama rakan sejawat berjawatan tetap dalam menghadapi krisis kesihatan yang sama.

Pesakit yang sesak nafas di hadapan mereka tidak pernah bertanya sama ada doktor yang merawatnya berstatus tetap atau kontrak. Tanggungjawab klinikal tetap perlu dilaksanakan.

Justeru, apabila Hartal Doktor Kontrak berlaku pada Julai 2021, ia bukan muncul dalam ruang kosong. Ia menjadi salah satu manifestasi keresahan sebahagian doktor muda terhadap masa depan profesion mereka.

Daripada Keresahan Kepada Pembaharuan

Namun perjalanan selepas 2021 juga penting untuk diceritakan. Isu doktor kontrak tidak terhenti selepas Hartal.

Dalam beberapa tahun berikutnya, kerajaan melaksanakan pelantikan tetap secara berperingkat sambil mencari penyelesaian terhadap persoalan tenaga kerja kesihatan yang jauh lebih kompleks.

Sejak 2023, lebih 15,000 doktor kontrak telah dilantik ke jawatan tetap, termasuk 4,000 pada tahun ini.

Kini, Belanjawan 2027 membawa langkah yang lebih besar apabila lebih 9,000 doktor kontrak bakal ditawarkan jawatan tetap.

Perubahan ini menunjukkan bahawa pembaharuan sistem kesihatan tidak semestinya berlaku dalam satu malam. Ada kalanya ia mengambil masa, memerlukan penyesuaian dasar, kemampuan fiskal serta perancangan tenaga manusia yang teliti.

Yang penting, keresahan di lapangan perlu terus bertemu dengan kesediaan pembuat dasar untuk mendengar, menilai dan menambah baik sistem.

Dalam konteks itu, pengumuman Belanjawan 2027 wajar dilihat sebagai satu perkembangan penting dalam usaha kerajaan memberikan hala tuju kerjaya yang lebih jelas kepada generasi doktor muda.

Jawatan tetap bukan noktah terakhir Namun, di sinilah kita perlu melihat lebih jauh.

Memberikan jawatan tetap kepada doktor merupakan langkah penting, tetapi persoalan tenaga kerja kesihatan negara tidak berakhir dengan pertukaran status daripada kontrak kepada tetap.

Seorang doktor perlu berkembang. Selepas latihan siswazah, mereka memerlukan pengalaman klinikal, bimbingan, peluang latihan lanjutan dan laluan yang jelas untuk membina kepakaran.

Malaysia bukan sekadar memerlukan lebih ramai doktor. Negara memerlukan doktor dalam disiplin dan lokasi yang tepat.

Kita memerlukan doktor di hospital besar, tetapi kita juga memerlukan mereka di hospital daerah dan kawasan yang sukar mendapat tenaga perubatan.

Kita memerlukan pegawai perubatan, tetapi dalam jangka panjang kita turut memerlukan pakar yang mencukupi untuk menghadapi perubahan corak penyakit, peningkatan penyakit kronik dan masyarakat yang semakin menua.

Oleh itu, pelantikan tetap perlu bergerak bersama perancangan pengagihan tenaga kerja, pembangunan kepakaran dan persekitaran kerja yang mampu mengekalkan doktor dalam perkhidmatan awam.

Sebagai seorang pendidik perubatan, saya melihat perkara ini daripada satu lagi sudut. Graduasi daripada sekolah perubatan bukanlah penghujung pendidikan seorang doktor.

Doktor dibentuk melalui pengalaman, penyeliaan dan pembelajaran sepanjang kerjaya. Sistem yang memberi mereka ruang untuk berkembang akhirnya akan menentukan kualiti doktor yang merawat masyarakat pada masa hadapan.

Harapan Baharu Untuk Generasi Seterusnya

Ada sesuatu yang simbolik apabila kita melihat perjalanan dari 2016 hingga 2027. Generasi pertama melalui sistem kontrak dengan pelbagai ketidakpastian.

Lima tahun kemudian, sebahagian doktor muda membawa keresahan itu ke perhatian masyarakat melalui Hartal Doktor Kontrak.

Kini, satu dekad selepas sistem tersebut diperkenalkan, Belanjawan 2027 memberikan gambaran masa depan yang berbeza kepada generasi doktor selepas mereka. Tentunya masih banyak perkara perlu diperbaiki.

Namun dasar awam juga perlu dinilai berdasarkan keupayaannya untuk berkembang apabila keadaan berubah dan pengalaman di lapangan memberikan pelajaran baharu.

Dalam hal ini, perjalanan doktor kontrak memberikan satu pengajaran yang bernilai: pembaharuan sistem kesihatan memerlukan bukan sahaja peruntukan kewangan, tetapi juga kesediaan untuk mendengar pengalaman mereka yang menggerakkan sistem tersebut setiap hari.

Lebih 9,000 jawatan tetap yang diumumkan mungkin kelihatan seperti satu angka dalam dokumen Belanjawan 2027. Namun, bagi ribuan doktor muda dan keluarga mereka, angka tersebut membawa makna yang jauh lebih peribadi.

Ia memberikan harapan untuk merancang kehidupan, membina kerjaya dan meneruskan khidmat dalam sistem kesihatan negara dengan masa depan yang lebih terjamin.

Dalam pembentangan Belanjawan 2027, Perdana Menteri memetik satu peribahasa Cina yang mengingatkan bahawa keharuman bunga plum tidak akan terbit tanpa terlebih dahulu mengharungi kedinginan yang menggigit hingga ke tulang.

Ungkapan ini seolah-olah mencerminkan perjalanan doktor kontrak yang telah melalui hampir sedekad ketidakpastian, termasuk pengorbanan ketika pandemik dan keresahan yang pernah disuarakan melalui Hartal Doktor Kontrak.

Kini, setelah melalui pelbagai cabaran, harapan itu semakin memperlihatkan sinarnya. Namun, seperti bunga yang memerlukan akar yang kukuh untuk terus berkembang, masa depan doktor muda juga memerlukan lebih daripada sekadar pelantikan tetap.

Mereka memerlukan peluang latihan, pembangunan kepakaran dan persekitaran kerja yang membolehkan mereka terus berbakti.

Kerana harapan sebenar bukan sekadar melihat doktor muda memperoleh masa depan yang lebih terjamin, tetapi memastikan mereka terus berkembang untuk menjamin masa depan kesihatan rakyat Malaysia.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Fisiologi dan Pendidikan Perubatan
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
E-mel: azrilshahreez@iium.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.