fb fb fb fb fb

Pahang kekal teraju pelaburan ECER, catat RM8.9 bilion tahun ini

Kerajaan Negeri Pahang hargai sumbangan ECERDC pacu pelaburan RM8.9 bilion./RTM

KUANTAN, 9 Oktober – Kerajaan Negeri Pahang merakamkan penghargaan kepada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) atas kejayaan memacu pelaburan direalisasi berjumlah RM5 bilion dan pelaburan komited RM3.9 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dalam kenyataan berkata kejayaan itu membuktikan kedudukan Pahang sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) serta destinasi pelaburan yang berdaya saing.

Katanya, pelaburan direalisasi itu mewakili 90 peratus daripada sasaran ECERDC bagi tahun 2025, iaitu RM5.6 bilion, diterajui oleh sektor pembuatan (41 peratus), minyak dan gas (34 peratus) serta perkhidmatan (25 peratus).

“Secara keseluruhan, pelaburan ini telah mewujudkan 2,846 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Pahang,” katanya.

Sementara itu, pelaburan komited berjumlah RM3.9 bilion, yang menumpukan kepada sektor pembuatan (95 peratus) dan pertanian (lima peratus), dijangka menghasilkan 3,185 peluang pekerjaan tambahan apabila direalisasikan sepenuhnya.

Datuk Seri Wan Rosdy berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Pahang di Putrajaya, hari ini.

Katanya, bersempena mesyuarat itu turut berlangsung dua acara penting, pertukaran dokumen antara ECERDC dan empat syarikat utama yang melabur di Pahang bernilai RM1.6 bilion, serta penyerahan Pusat Konservasi dan Informasi Penyu (TCIC) Cerating kepada Jabatan Perikanan Negeri Pahang.

Empat syarikat tersebut ialah PKNP Fire Phoenix Data Center Sdn. Bhd., menubuhkan Pusat Data AI; Sinolion Wheels Technology Sdn. Bhd., menghasilkan rim roda aloi aluminium; Malaysian Solar Resources Sdn. Bhd.,membangunkan kilang teknologi hijau; dan Lionphos Sdn. Bhd., menghasilkan fosfat gred makanan dan gred elektronik.

“Kerajaan negeri menyokong penuh usaha ECERDC dalam menjayakan pelaburan strategik bernilai tinggi yang sejajar dengan Aspirasi Pahang 1st, demi pertumbuhan mampan, inovasi dan peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat negeri ini,” katanya.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI