Op Khas Bersepadu banteras pencerobohan KLTL di jambatan Pulau Pinang

Foto APMM Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 26 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang dan beberapa agensi penguat kuasa memperkukuh kawalan menerusi Op Khas Bersepadu bagi membanteras pencerobohan Kawasan Larangan Tempat Larangan (KLTL) di bawah Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi dilaksanakan semalam bersama Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia Pulau Pinang, Lembaga Lebuhraya Malaysia, Jambatan Kedua Sdn Bhd dan PLUS.
  • Operasi diketuai Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain, melibatkan 35 pegawai dan dua bot.
  • Rondaan mendapati kawasan bawah kedua-dua jambatan bebas pencerobohan, menunjukkan pematuhan tinggi komuniti maritim.
  • APMM dan agensi merangka SOP kawal aktiviti berhampiran jambatan; pelanggaran boleh didakwa di bawah Seksyen 7 Akta 298 dan Seksyen 447.

Kenyataan APMM hari ini memaklumkan operasi itu dilaksanakan semalam dengan kerjasama Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia Pulau Pinang, Lembaga Lebuhraya Malaysia, Jambatan Kedua Sdn Bhd dan Projek Lebuhraya Utara-Selatan Bhd.

Menurut kenyataan itu, operasi yang diketuai Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain serta melibatkan 35 pegawai dan anggota, menggunakan dua bot.

Hasil rondaan dan pemeriksaan mendapati kawasan di bawah kedua-dua jambatan yang sebelum ini menjadi tumpuan aktiviti memancing kini bebas daripada pencerobohan sekali gus menunjukkan tahap pematuhan yang tinggi dalam kalangan komuniti maritim.

APMM turut mengingatkan komuniti nelayan dan pemilik bot bahawa larangan itu meliputi keseluruhan kawasan di bawah kedua-dua jambatan termasuk zon penampan sejauh 250 meter di kiri dan kanan struktur berkenaan bagi melindungi keselamatan awam serta infrastruktur strategik termasuk kabel komunikasi dan elektrik voltan tinggi.

Kenyataan itu memaklumkan APMM dan agensi berkaitan turut merangka prosedur operasi standard bagi mengawal selia aktiviti berhampiran kedua-dua jambatan serta menegaskan bahawa individu yang melanggar larangan berdepan tindakan di bawah Seksyen 7 Akta 298, iaitu hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya, selain boleh disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.