
PASIR MAS, 26 Julai – Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai memproses dan menjual air ketum di rumahnya dalam serbuan Op Taring Wawasan di Kampung Senor Meranti, di sini, semalam.
- Rampasan dua kilogram daun ketum dan 10 liter air ketum bernilai RM360.
- Pemeriksaan menemui bungkusan daun ketum di dapur dan tong berisi cecair kehijauan disyaki air ketum di bilik mandi.
- Suspek mengaku meminum air ketum sejak 2023 dan menanam pokok ketum; kes disiasat bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan kira-kira pukul 5.45 petang itu membawa kepada rampasan dua kilogram daun ketum dan 10 liter air ketum bernilai RM360.
Beliau berkata, suspek berusia 35 tahun itu memproses minuman itu dirumah untuk kegunaan sendiri dan dijual kepada rakan terdekat pada harga RM10 sebungkus.
“Pemeriksaan di bahagian dapur menemukan satu bungkusan plastik mengandungi daun ketum, manakala pemeriksaan di bilik mandi menemukan sebuah tong gabus berisi plastik lutsinar yang mengandungi cecair kehijauan disyaki air ketum.
“Suspek kemudian ditahan dan semua barang kes dirampas sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata, hasil soal siasat mendapati suspek mengaku meminum air ketum sejak 2023 dan mengaku menanam pokok ketum di kawasan rumahnya.
Katanya, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas suspek didapati negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.