Cubaan seludup 200,000 batang rokok gagal, pemandu cabut lari

PGA merampas 200,000 batang rokok putih dipercayai diseludup selepas pemandu melarikan diri ketika dikejar anggota PGA

TUMPAT, 26 Julai – Seorang pemandu bertindak melarikan diri selepas kereta yang dipandunya terbabas ke dalam tali air ketika cuba meloloskan diri daripada dikejar Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op Taring Wawasan, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan kenderaan menemukan 200,000 batang rokok tidak bercukai bernilai RM374,000.
  • Kesemua rokok dirampas diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kelantan untuk tindakan lanjut.
  • Pihak berkuasa sedang mengesan pemilik kenderaan bagi membantu siasatan; kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan yang ditinggalkan itu menemukan 200,000 batang rokok putih dipercayai tidak bercukai bernilai RM374,000.

Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2 pagi ketika anggota PGA menjalankan rondaan di Kampung Geting sebelum mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran anggota PGA, pemandu kenderaan itu bertindak memecut sejauh kira-kira dua kilometer sebelum hilang kawalan dan terbabas ke dalam kawasan tali air di Kampung Kok Bedollah.

“Suspek kemudian melarikan diri dan gagal dikesan meskipun usaha mengesannya dijalankan.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan beberapa guni berisi kotak yang mengandungi rokok putih dipercayai tidak bercukai dan disyaki diseludup,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Radzi berkata, kesemua rokok yang dirampas telah diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang mengesan dan mengenal pasti pemilik kenderaan yang digunakan dalam kegiatan penyeludupan itu bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.