Bersiar-siar ke Thailand bawa padah, lelaki ditahan guna laluan tikus

Laluan tikus untuk memasuki ke Thailand dengan menggunakan perahu tambang RM5/Foto PGA Briged Tenggara

PASIR MAS, 26 Julai – Tindakan seorang lelaki tempatan menggunakan laluan tikus untuk pulang ke Malaysia mengundang padah apabila ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara di Pengkalan Haram Lan Bundle, Rantau Panjang, petang semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lelaki 39 tahun mengaku memasuki Thailand untuk bersiar-siar dan membeli makanan.
  • Kembali ke Malaysia menggunakan pengkalan haram yang sama.
  • Mengaku membayar tambang perahu RM5 bagi satu perjalanan menyeberangi sungai.
  • Suspek diserahkan kepada polis; kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

Lelaki berusia 39 tahun itu dipercayai memasuki ke Thailand untuk bersiar-siar dan membeli makanan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, lelaki titu ditahan kira-kira pukul 6.30 petang selepas dikesan menaiki sebuah perahu dari tebing sungai Thailand menuju ke pengkalan haram berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku memasuki Thailand melalui Pengkalan Haram Lan Bundle untuk bersiar-siar dan membeli makanan sebelum kembali ke Malaysia menggunakan laluan yang sama.

“Suspek turut mengaku membayar tambang perahu sebanyak RM5 bagi satu perjalanan untuk menyeberangi sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Radzi berkata, lelaki itu ditahan kerana memasuki Malaysia menggunakan laluan yang tidak diwartakan.

Suspek diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.